
SEPANG, 3 Okteber – Formula 1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang selepas hampir sembilan tahun, dengan litar ikonik Malaysia itu terus menampilkan cabaran berbeza berbanding kebanyakan litar yang dilalui barisan pelumba musim ini.
- Permukaan aspal tua kasar dan agresif kepada tayar, menyebabkan degradasi tinggi dan pengurusan tayar menjadi fokus utama pasukan.
- Suhu tinggi mencecah 38 darjah Celsius udara dan 54 darjah permukaan, meningkatkan tekanan haba kepada tayar dan jentera.
- Kekurangan data moden dan serpihan batu pada permukaan memaksa pembersihan litar serta mungkin strategi dua atau lebih hentian pit.
Selepas dua sesi latihan bebas (FP1 dan FP2) bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 semalam, keadaan permukaan litar, suhu tinggi dan degradasi tayar ketara muncul antara cabaran utama pasukan sebelum sesi latihan bebas ketiga, tengah hari ini.
Sepang kali terakhir menjadi tuan rumah Formula 1 pada 2017, menyebabkan sebahagian besar pelumba di grid ketika ini tidak mempunyai pengalaman berlumba dengan jentera F1 generasi terkini di litar sepanjang 5.543 kilometer itu.
Lebih mencabar, permukaan asfalt yang sudah berusia memberikan karakter berbeza kepada litar, dengan beberapa pelumba menyifatkannya sebagai kasar dan agresif terhadap tayar. Keadaan itu jelas sepanjang FP1 dan FP2 apabila pengurusan tayar menjadi antara fokus utama pasukan.
Juara dunia empat kali, Max Verstappen yang mencatat masa terpantas pada FP1 turut berdepan degradasi tayar tinggi ketika Red Bull mengumpul data untuk persediaan perlumbaan.
Charles Leclerc pula mencatat masa terpantas pada FP2, namun fokus pasukan lebih kepada memahami tindak balas tayar dalam keadaan panas berbanding sekadar mengejar catatan masa terpantas.
Suhu udara mencecah sekitar 38 darjah Celsius, manakala,suhu permukaan litar meningkat sehingga 54 darjah Celsius, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada tayar dan jentera.
Beberapa pelumba turut memberi perhatian terhadap keadaan permukaan litar. Sergio Perez, Alex Albon dan Ollie Bearman masing-masing menyuarakan pandangan mengenai sifat asfalt yang kasar dan agresif, manakala Nico Hulkenberg menyedari perubahan ketara pada permukaan sejak kali terakhir Formula 1 beraksi di Malaysia.
Jurutera Pirelli, Simone Berra berkata tahap gelinciran tayar akibat permukaan litar turut menyumbang kepada peningkatan degradasi haba.
Pirelli merekodkan kemerosotan prestasi sekitar 0.2 hingga 0.3 saat setiap pusingan, dengan perlumbaan Ahad berpotensi menyaksikan strategi dua atau lebih hentian pit.
Permukaan litar juga menunjukkan tanda semakin terhakis sepanjang sesi, termasuk kewujudan batu kecil dan serpihan selepas kereta keluar daripada garisan perlumbaan.
Keadaan itu memerlukan litar dibersihkan selepas sesi, sekali gus menggambarkan cabaran yang dihadapi pasukan sepanjang hujung minggu ini.
Namun, keadaan tersebut turut membuka ruang kepada perlumbaan yang lebih menarik dari segi strategi. Pasukan perlu membuat keputusan tepat mengenai masa hentian pit, penggunaan setiap kompaun tayar dan pengurusan degradasi sepanjang perlumbaan.
Sesi Jumaat turut memperlihatkan kekurangan data moden pasukan mengenai Sepang.
Verstappen mengungguli FP1 dengan catatan 1:37.520 saat sebelum Leclerc muncul terpantas pada FP2 dengan 1:37.528 saat. Empat pasukan teratas pula dipisahkan dengan jurang yang kecil pada sesi kedua.
Dengan sesi latihan bebas ketiga dijadual berlangsung tengah hari ini, pasukan mempunyai satu lagi peluang untuk memahami karakter Sepang sebelum sesi kelayakan.
Selepas hanya dua sesi latihan, satu perkara sudah jelas, kembalinya Formula 1 ke Sepang bukan sekadar menghidupkan semula perlumbaan di Malaysia, malah memperkenalkan kepada generasi baharu pelumba sebuah litar yang menuntut pendekatan berbeza dari segi pemanduan, pengurusan tayar dan strategi.