
KUALA NERUS, 3 Oktober – Skuad Terengganu Turtles menyasarkan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) tahun depan setelah tersingkir daripada kejohanan tersebut musim lepas.
- Kehadiran Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak, pemenang emas Sukan Asia 2026, diyakini memperkuat skuad.
- Kemasukan muka baharu termasuk Meor Mohamad Zulfikar, Mohamad Azim dan import Thailand Saenkrai memantapkan pasukan untuk Divisyen Satu 2026 bermula 7 Okt.
- Persiapan rapi sejak awal tahun, sokongan penaja berterusan dan kepimpinan jurulatih Natongsak Jittisak memberi keyakinan kepada pasukan.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kehadiran dua pemain kebangsaan iaitu Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak yang membantu Malaysia meraih pingat emas acara regu berpasukan Sukan Asia 2026 di Jepun baru-baru ini, diyakini mampu merealisasikan impian itu.
Selain itu, katanya kemasukan beberapa muka baharu berpengalaman iaitu Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin (tekong), Mohamad Azim Azizul (apit kanan) serta pemain import dari Thailand, Saenkrai Dowrueang (apit kanan) dijangka memantapkan lagi kekuatan skuad bagi mengharungi saingan Divisyen Satu STL 2026 yang bakal bermula 7 Okt ini.
“Kita sudah membuat persiapan dari awal tahun bagi memastikan Terengganu Turtles dapat kembali beraksi di liga utama STL iaitu Liga Premier pada musim depan. Tahun lepas kita jatuh ke Divisyen Satu selepas sekadar menduduki tempat kesebelas dalam Liga Premier.
“Tahun ini kita tampil dengan barisan pemain lebih kuat dan berkualiti. Alhamdulillah sokongan daripada penaja masih berterusan. Dengan kombinasi pemain berpengalaman dan bakat muda, kita optimis dapat mencapai sasaran berkenaan,” katanya selepas Majlis Memperkenal Pemain Pasukan Terengganu Turtles Sempena Kejohanan STL Divisyen Satu 2026 di sini, malam tadi.
Tengku Zaihan berkata Terengganu Turtles yang dibimbing ketua jurulatih Natongsak Jittisak turut dibarisi tiga pemain lain iaitu Muhamad Khairul Aman Mohd Rosdi (apit kanan), Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin (apit kiri) dan Muhammad Amar Roslan (tekong) – BERNAMA