PM zahir simpati mendalam kepada keluarga tiga beradik maut di Pontian

Jenazah tiga beradik tersebut selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Siraj, dalam satu liang lahad pada 7.30 malam hari ini./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati yang mendalam terhadap keluarga tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Parit Haji Sirat, Pontian, Johor, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mendoakan keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat.
  • Berdoa agar roh ketiga mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
  • Tiga beradik maut selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah lori; mangsa berumur 11, 8 dan 18 tahun.

“Dukacita menerima khabar tiga beradik maut ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

“Saya mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” kata Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut mendoakan agar roh ketiga-tiga Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi, tiga beradik termasuk dua murid sekolah rendah maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Mangsa terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan 8 tahun serta abang mereka berusia 18 tahun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.