
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober – Sambutan luar biasa terhadap MyKad Generasi Baharu menyaksikan pengeluaran kad pengenalan itu meningkat lebih dua kali ganda kepada sehingga 10,000 keping sehari.
- Pengeluaran MyKad Generasi Baharu melonjak sehingga 10,000 keping sehari, naik daripada sekitar 3,500 hingga 4,000 sehari.
- JPN menasihatkan orang ramai tidak tergesa-gesa menukar MyKad jika cip masih baik, namun orang ramai tetap hadir.
- Ciri keselamatan MyKad ditingkatkan daripada 23 kepada 53 bagi memperkukuh perlindungan identiti dan membendung pemalsuan.
Sejak diperkenalkan pada 17 September lalu, sebanyak 169,346 keping MyKad Generasi Baharu telah dikeluarkan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, jumlah pengeluaran harian sebelum ini hanya sekitar 3,500 hingga 4,000 keping.
“Pada kami, kami amat gembira. Sambutan yang amat positif, seperti saya sebut tadi, daripada 3,500 sehari telah mencapai angka 10,000.
“Itu setelah kita sering kali memberitahu jangan berpusu-pusu, jangan hadir, jangan datang kalau cip tidak rosak. Tetapi rakyat tetap hadir,” katanya selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri menerusi Program MEKAR di Taman Sinar Harapan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, peningkatan itu berlaku meskipun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar MyKad sekiranya kad sedia ada masih dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, ciri keselamatan MyKad Generasi Baharu turut dipertingkat daripada 23 kepada 53 bagi memperkukuh perlindungan identiti dan membendung pemalsuan kad pengenalan.
JPN kini mengoperasikan 69 daripada 70 pusat cetakan MyKad di seluruh negara, dengan hanya pusat baharu di Langkawi, Kedah masih belum beroperasi.
Di Terengganu, empat lokasi menawarkan kemudahan cetakan MyKad dalam tempoh 30 minit, iaitu JPN Ibu Negeri Terengganu, Besut, Dungun dan UTC Kuala Terengganu.