
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Kerajaan mencadangkan supaya kuasa Ketua Pengarah Kesihatan diperluas bagi membolehkan maklumat mengenai makanan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 (Akta 281) disiarkan kepada orang awam tanpa memerlukan perintah mahkamah.
- RUU Makanan (Pindaan) 2026 bertujuan memperkukuh keselamatan makanan dan melindungi kepentingan awam.
- Pindaan Seksyen 12 membolehkan sabitan kesalahan diumumkan melalui media cetak dan elektronik.
- Perkenalan Seksyen 11A memberi kuasa menutup premis berjual makanan berbahaya; pegawai diberi kuasa mengakses rekod dan data digital untuk siasatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 yang bertujuan melindungi keselamatan dan kepentingan awam.
“Peruntukan sedia ada di bawah Akta 281 dilihat tidak lagi dapat menampung cabaran semasa keselamatan makanan untuk melindungi kesihatan rakyat.
“Oleh itu, pindaan Akta 281 amat relevan bagi memperkukuhkan aspek kawalan keselamatan makanan serta melindungi hak dan kepentingan rakyat untuk mendapatkan makanan yang selamat dan berkualiti di pasaran,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, maklumat berkenaan boleh disiarkan melalui media cetak atau elektronik bagi memastikan kepentingan awam terus dilindungi.
RUU yang mengandungi 39 fasal itu turut mencadangkan pindaan terhadap Seksyen 12 Akta 281 bagi membolehkan maklumat berkaitan sabitan kesalahan di bawah akta berkenaan diumumkan melalui media cetak dan elektronik.
Turut dicadangkan ialah pewujudan Seksyen 11A yang memberikan kuasa lebih luas kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengarahkan penutupan premis yang menyediakan atau menjual makanan mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan.
Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, pindaan itu juga bertujuan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan melalui peluasan bidang kuasa pegawai diberi kuasa, termasuk menjalankan siasatan selain pemeriksaan seperti yang diperuntukkan ketika ini.
Katanya, pegawai berkenaan turut diberi kuasa mengakses rekod, maklumat komputer dan data digital bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh, khususnya mengambil kira perkembangan urus niaga makanan secara dalam talian.
Menurut beliau, pindaan itu secara tidak langsung berupaya meningkatkan prestasi serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara ke tahap lebih inklusif dan mampan.