133 representasi diterima SPR berkaitan persempadanan Sarawak

Mesyuarat Khas SPR akan diadakan bagi meneliti dan membincangkan kesemua representasi yang telah diterima

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 133 representasi berhubung Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Sarawak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebahagian besar representasi membantah syor: 126 membantah, tujuh menyokong.
  • Representasi diterima sepanjang Pameran Syor KSP, berlangsung sebulan dari 1 hingga 30 September.
  • SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas untuk meneliti representasi dan mempertimbangkan yang layak bagi Siasatan Tempatan menurut peruntukan Perlembagaan.
  • SPR diberi tempoh dua tahun bermula 1 September 2026 untuk menyiapkan kajian dan mengemukakan laporan akhir kepada Perdana Menteri.

Setiausahanya, Datuk Khairul Shahril Idrus menerusi kenyataan berkata daripada angka itu, 126 representasi membantah syor, manakala tujuh lagi merupakan representasi yang menyatakan sokongan kepada cadangan persempadanan pilihan raya tersebut.

“Kesemua representasi diterima sepanjang tempoh Pameran Syor KSP Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berlangsung selama sebulan mulai 1 hingga 30 September lepas.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas SPR bagi meneliti dan membincangkan kesemua representasi yang telah diterima, khususnya representasi yang memenuhi syarat untuk dipertimbangkan bagi tujuan Siasatan Tempatan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tatacara Kajian Semula Persempadanan yang berkuat kuasa,”katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut memberitahu, ketetapan mengenai proses Siasatan Tempatan bakal dibuat selepas mesyuarat, manakala notis menghadiri prosiding akan dihantar kepada pihak yang layak sekurang-kurangnya dua minggu sebelumnya.

Menurutnya, SPR diberikan tempoh dua tahun untuk menyiapkan kajian berkenaan, bermula 1 September 2026, iaitu tarikh notis berkaitan diterbitkan sehingga laporan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri.

“Tempoh berkenaan selaras peruntukan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan laporan akhir kajian dikemukakan kepada Perdana Menteri selepas keseluruhan proses diselesaikan,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.