Transformasi pendigitalan rekod awam, sumber strategik negara

Rekod hanya benar-benar bernilai apabila ia sahih terpelihara dan boleh diakses

SHAH ALAM, 8 Oktober – Pengurusan rekod yang sistematik, selamat serta mampan terus memperkukuh transformasi digital sektor awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod awam aset strategik menyokong keputusan, pelaksanaan dasar, akauntabiliti dan pemeliharaan warisan negara
  • Seluruh masyarakat penjaga warisan, digalakkan menyumbang dokumen persendirian kepada Arkib Negara untuk dipelihara dan didigitalkan
  • Manual klasifikasi fail dan garis panduan tandatangan digital dilancarkan untuk seragamkan pengurusan rekod di seluruh agensi

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan rekod awam bukan sekadar dokumen pentadbiran, malah merupakan aset strategik yang menyokong proses pembuatan keputusan, pelaksanaan dasar, akauntabiliti serta pemeliharaan warisan negara.

“Rekod merupakan bukti amanah. Setiap keputusan kerajaan,perbelanjaan awam juga tindakan yang menyentuh kepentingan rakyat perlu dicatat, dipelihara dan boleh dirujuk semula.

“Rekod yang hilang, dimusnahkan atau disembunyikan tidak akan dapat melindungi hak rakyat dan tidak dapat mempertanggungjawabkan tindakan.

“Justeru, rekod hanya benar-benar bernilai apabila ia sahih terpelihara dan boleh diakses,”katanya pada Majlis Peluncuran Konvensyen Pengurusan Rekod Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen MBSA.

Tan Sri Shamsul Azri turut menyatakan seluruh anggota masyarakat adalah penjaga warisan negara dan bukannya meletakkan tanggungjawab itu kepada kerajaan dan kakitangan arkib, semata-mata.

“Banyak dokumen, surat, gambar peta dan catatan sejarah masih berada dalam simpanan persendirian.

“Saya menyeru supaya masyarakat yang mempunyai rekod juga nilai-nilai sejarah menyumbangkannya kepada Arkib Negara agar dapat dipelihara, didigitalkan dan diwarisi generasi akan datang.

“Kita juga perlu mengenal pasti dan mendapatkan rekod berkaitan sejarah serta pentadbiran negara yang berada di arkib perpustakaan muzium atau institusi di luar negara.

“Apa yang kita pelihara hari ini akan menjadi bukti kewujudan dan perjalanan bangsa kita pada masa hadapan,”katanya lagi.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Manual Penggunaan Klasifikasi Fail Urusan Am Sektor Awam 2026 dan Garis Panduan Penggunaan Tandatangan Digital dalam Digital Document Management System (DDMS).

Pelaksanaannya membantu memperkukuh pendigitalan rekod secara seragam, teratur dan selamat; memartabatkan rekod awam sebagai sumber strategik bagi pembangunan negara serta memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri dalam usaha memelihara memori negara.

“DDMS merupakan instrumen strategik kerajaan untuk memastikan rekod digital diurus secara sistematik sepanjang kitar hayatnya.

“Sehingga September 2026, DDMS 2.0 digunakan oleh 463 agensi melibatkan 174,246 pengguna dengan 18.1 juta rekod, dan pencapaian berkenaan amat membanggakan, walaupun hanya berada pada permulaan,”jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.