Peruntukan RM3.145 juta perluas kemudahan asas masjid, dialisis di Kelantan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program Sebarkan Salam: Kota Bharu Berselawat di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu/ Foto FB Anwar Ibrahim/ PMO

KOTA BHARU, 1 November – Rakyat Kelantan bakal menerima kemudahan serta akses rawatan lebih baik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3.145 juta menerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi memperluas kemudahan asas masjid serta akses rawatan dialisis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM2.5 juta untuk projek dialisis bersama Radicare sediakan rawatan di beberapa masjid terpilih di Kelantan.
  • RM645,000 diluluskan untuk projek wakaf air dan solar membantu masjid berdepan masalah bekalan air dan elektrik.
  • Masjid dijadikan pangkalan kemudahan kebajikan serta kesihatan untuk memudahkan akses rawatan penduduk setempat.
  • Kerajaan luluskan penyediaan teknologi pembedahan robotik di HPUSM untuk tingkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan Pantai Timur.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, RM645,000 disediakan bagi pelaksanaan projek Wakaf Air dan Solar Masjid, khususnya membantu masjid yang berdepan masalah bekalan air dan elektrik.

Manakala, Projek Dialisis YWM-Radicare melibatkan peruntukan RM2.5 juta bagi menyediakan kemudahan rawatan kepada pesakit di beberapa masjid terpilih di Kelantan.

Datuk Seri Anwar berkata, pendekatan itu menjadikan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah dan penyebaran ilmu, malah berperanan sebagai pangkalan kemudahan kebajikan serta kesihatan untuk masyarakat setempat.

“Di sesetengah masjid ada masalah air, elektrik. Jadi kita telah meluluskan untuk wakaf air dan solar sebanyak RM645,000 untuk masjid di Kelantan. Melalui Yayasan Waqaf Malaysia ini, kita bekerjasama Radicare untuk memudahkan kemudahan dialisis. Sesetengah orang kampung jauh hendak mendapatkan kemudahan dialisis, kita gunakan masjid sebagai pengkalan.

“Peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu dialisis bersama Yayasan Wakaf Malaysia-Radicare dialisis RM2.5 juta untuk beberapa masjid terpilih di Kelantan bagi memudahkan rakyat”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sebarkan Salam dan Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan sudah meluluskan penyediaan teknologi pembedahan robotik di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.*

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan dan memperluas akses rawatan kepakaran kepada penduduk di Pantai Timur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.