JAKIM arah tutup premis KAFA jika IPU melebihi 180

Fenomena matahari kemerahan jelas kelihatan di ruang udara Putrajaya pagi semalam (8 Oktober) susulan keadaan jerebu, selari  bacaan IPU pada paras 173 yang dikategorikan sebagai tidak sihat/ Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Semua premis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 hendaklah ditutup mulai hari ini susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua premis KAFA di kawasan dengan bacaan IPU melebihi 180 ditutup bermula 9 Oktober 2026 bagi memastikan keselamatan guru dan murid.
  • Penutupan juga wajib dilaksanakan mulai 12 Oktober apabila bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut.
  • Premis terjejas mesti laksanakan PdPR; penyelia dan PBAN dipohon memantau; UPKK bertulis diteruskan kecuali panduan khusus dikeluarkan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan guru serta murid KAFA, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“JAKIM menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan kesihatan murid dan guru KAFA susulan keadaan jerebu yang melanda di negara ini.

“Sehubungan itu, JAKIM ingin memaklumkan bahawa semua premis KAFA di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar
(JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, penutupan premis KAFA hendaklah dilaksanakan mulai Isnin, 12 Oktober.

Datuk Dr. Sirajuddin berkata premis KAFA yang terjejas perlu melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) dengan kaedah yang bersesuaian, mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesediaan guru KAFA.

“Penyelia KAFA juga perlu memantau pelaksanaan sesi PdPR berdasarkan kepada kaedah yang digunakan oleh guru KAFA di daerah masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meminta ibu bapa dan penjaga memastikan anak berada di rumah serta mengurangkan aktiviti luar sepanjang tempoh penutupan.

Sementara itu, pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) secara bertulis akan diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Namun demikian, jika jerebu masih berlarutan, JAKIM akan mengeluarkan panduan khusus bagi pelaksanaan UPKK kepada semua Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN).

“PBAN hendaklah membuat pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras yang ditetapkan,” katanya.

Tambah Datuk Dr. Sirajuddin, pihaknya akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta guru KAFA terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.