Belanjawan 2027: Memacu Ekonomi Biru daripada potensi kepada nilai

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan pengkomersialan ekonomi biru melalui pendekatan rantaian nilai menyeluruh bagi perikanan, akuakultur dan pelancongan pesisir.
  • Percepat pembangunan perakaunan laut dan pangkalan data ekonomi biru untuk keputusan berasaskan bukti dan pelaburan bersasar.
  • Melabur dalam R&D, pemindahan teknologi dan pembinaan bakat melalui universiti, sambil menggabungkan konservasi untuk ekonomi biru inklusif dan berdaya tahan.

Laut bukan sekadar hamparan biru yang mengelilingi negara. Di dalamnya terkandung sumber makanan, tenaga, biodiversiti, peluang pekerjaan, jaringan perdagangan serta potensi besar untuk menjana ekonomi bernilai tinggi.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana kekayaan tersebut dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi domestik, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Dalam konteks ini, ekonomi biru perlu dilihat bukan sekadar sebagai satu lagi sektor ekonomi tetapi sebagai pendekatan pembangunan yang menghubungkan sumber laut, pesisir pantai dan ekosistem air dengan pertumbuhan ekonomi, keterjaminan makanan, inovasi, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat.

Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) telah memberikan asas yang jelas ke arah tersebut apabila ekonomi biru diletakkan sebagai salah satu daripada 10 keutamaan di bawah Tonggak A iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi melalui A3 – Pemerkasaan Ekonomi Biru.

Tiga strategi utama yang digariskan iaitu pemantapan tadbir urus ekonomi biru, melonjakkan industri maritim utama serta pemeliharaan biodiversiti dan ekosistem marin, menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Inilah prinsip yang perlu diteruskan dalam Belanjawan 2027.

Daripada Potensi Kepada Rantaian Nilai

Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kedua dalam tempoh pelaksanaan RMK-13 bagi 2026 hingga 2030. Justeru, ia mempunyai peranan penting untuk menterjemahkan aspirasi dan strategi RMK-13 kepada program, pelaburan dan tindakan yang lebih konkrit.

Sudah tiba masanya ekonomi biru bergerak daripada fasa mengenal pasti potensi kepada fasa pelaksanaan dan pengkomersialan. Pendekatan pembangunan juga perlu berubah daripada melihat sektor secara berasingan kepada melihat rantaian nilai secara menyeluruh.

Sebagai contoh, sektor perikanan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah hasil tangkapan. Rantaian nilainya merangkumi pengurusan sumber, teknologi dan inovasi, pengeluaran, pemprosesan, logistik, pembangunan bakat, pasaran serta pengurusan sisa dan pemuliharaan.

Begitu juga dengan akuakultur. Nilai sebenar tidak hanya terletak pada pengeluaran ikan tetapi turut meliputi teknologi pembenihan, makanan ternakan, sistem automasi, biosekuriti, penggunaan data, pemprosesan, rantaian sejuk dan akses pasaran.

Pendekatan sebegini mampu meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pada masa yang sama memperkukuh daya tahan industri.

Hal yang sama boleh diterapkan dalam pelancongan pesisir dan maritim. Ukuran kejayaan tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah pelancong, tetapi juga nilai ekonomi yang kekal dalam komuniti tempatan, kualiti pekerjaan yang diwujudkan, daya tahan destinasi dan keadaan ekosistem yang menjadi tarikan utama.

Data Sebagai Asas Membuat Keputusan

Satu lagi perkara yang wajar diberikan perhatian segera ialah pembangunan perakaunan kelautan (Ocean Accounting) dan pangkalan data ekonomi biru. Kita tidak boleh mengurus perkara yang tidak kita ukur dengan baik.

Nilai laut kepada ekonomi negara bukan hanya nilai hasil perikanan atau aktiviti pelancongan.

Ia turut merangkumi nilai karbon biru, perlindungan pesisir daripada hakisan dan banjir, biodiversiti, ekosistem, sumber marin serta pelbagai perkhidmatan ekosistem yang selama ini mungkin tidak diterjemahkan secara menyeluruh dalam angka ekonomi.

Oleh itu, pembangunan pangkalan data perakaunan biru yang bersepadu perlu dipercepatkan. Data yang kukuh akan membolehkan kerajaan membuat keputusan berasaskan bukti, menentukan keutamaan pelaburan serta menilai pulangan sebenar pembangunan ekonomi biru.

Dalam konteks ini, cadangan pembangunan Blue Economy Hub di kawasan yang mempunyai kekuatan dan kelebihan sumber marin juga wajar diberikan perhatian melalui pendekatan rintis dan pembiayaan bersasar.

Negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Perak dan Sabah, serta kawasan lain yang mempunyai kelebihan sumber marin, mempunyai potensi untuk menjadi tapak pengembangan ekosistem ekonomi biru yang menghubungkan kerajaan, industri, universiti, komuniti dan pelabur.

R&D Bukan Perbelanjaan, Tetapi Pelaburan

Ekonomi biru ialah ekonomi yang sangat bergantung kepada ilmu, teknologi dan inovasi. Sebab itu pemantapan ekosistem R&D&C&I yang turut menjadi keutamaan RMK-13 perlu diterjemahkan secara lebih agresif dalam Belanjawan 2027.

Kita memerlukan penyelidikan dalam teknologi akuakultur dan perikanan, automasi, bioprospeksi marin, blue carbon, pemulihan ekosistem, tenaga marin, pengurusan sisa marin, teknologi pelabuhan dan logistik serta pemodelan dan data marin.

Namun, penyelidikan tidak boleh berhenti di makmal atau jurnal. Peruntukan untuk penyelidikan perlu disusun bersama laluan kepada pembangunan prototaip, pengujian, pensijilan, perlindungan harta intelek, pengkomersialan dan penggunaan oleh industri.

Dengan pendekatan ini, perbelanjaan terhadap R&D tidak lagi dilihat semata-mata sebagai kos, tetapi sebagai pelaburan negara untuk menghasilkan teknologi, pekerjaan, syarikat baharu dan nilai tambah domestik.

Pendekatan pembiayaan juga perlu lebih pragmatik, termasuk insentif berasaskan prestasi dan impak. Sektor ekonomi biru yang merentas pelbagai bidang memerlukan pembiayaan yang turut merentas sektor, bukan terhad kepada silo kementerian atau agensi.

Konservasi dan Kesejahteraan Tidak Boleh Dipisahkan

Pembangunan ekonomi biru hanya akan bertahan jika sumber yang menjadi asas kepada ekonomi itu sendiri terus dipelihara.

Pemuliharaan dan pemulihan ekosistem marin, pesisir dan air tawar perlu menjadi sebahagian daripada pelaburan ekonomi, bukan dianggap sebagai agenda yang terpisah.

Pemuliharaan hutan bakau dan ekosistem pesisir, misalnya, bukan sahaja penting kepada biodiversiti. Ia turut menyumbang kepada blue carbon serta membantu melindungi kawasan pesisir daripada hakisan dan banjir.

Begitu juga dengan pengurusan perikanan. Usaha menangani perikanan berlebihan, aktiviti penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal IUU fishing serta pengurusan sisa marin adalah penting untuk memastikan sumber perikanan kekal produktif bagi generasi akan datang.

Pada akhirnya, agenda ekonomi biru ialah agenda kesejahteraan manusia.

Kita mahu komuniti pesisir menikmati peluang ekonomi yang lebih baik, nelayan mempunyai sumber pendapatan yang berdaya tahan, industri mempunyai akses kepada teknologi dan bakat, manakala pengguna pula mendapat bekalan makanan yang selamat dan mencukupi.

Inilah titik temu antara ekonomi, alam sekitar dan kesejahteraan sosial.

Universiti Sebagai Penghubung Ilmu dan Industri

Dalam transformasi ini, universiti mempunyai tanggungjawab yang besar. Universiti bukan sekadar menghasilkan graduan, tetapi perlu menjadi penghubung antara ilmu, industri, kerajaan dan masyarakat.

Ekonomi biru memerlukan bakat dalam ekonomi sumber, sains marin, teknologi perikanan dan akuakultur, kejuruteraan maritim, teknologi pelabuhan dan logistik, bioteknologi marin, tenaga boleh baharu, pemodelan serta data marin, biodiversiti dan pengurusan sumber.

Pembangunan bakat TVET juga perlu diberikan perhatian supaya tenaga kerja kita benar-benar bersedia memenuhi pekerjaan baharu yang muncul dalam rantaian nilai ekonomi biru.

Universiti juga perlu lebih dekat dengan industri supaya penyelidikan yang dihasilkan benar-benar menyelesaikan masalah sebenar.

Daripada teknologi akuakultur kepada automasi, daripada pengurusan sumber kepada logistik maritim, keperluan industri mesti menjadi sebahagian daripada agenda penyelidikan dan pembangunan bakat.

Bagi sebuah negara maritim seperti Malaysia, kita mempunyai kelebihan yang tidak boleh dipandang ringan. Persoalannya bukan sama ada kita mempunyai sumber, tetapi bagaimana kita mengurus, menambah nilai dan memastikan manfaatnya kembali kepada rakyat.

Membina Ekonomi Biru Inklusif dan Berdaya Tahan

Belanjawan 2027 sewajarnya menjadi pemangkin kepada perubahan tersebut. Kita memerlukan pelaburan dalam R&D, data, teknologi, bakat, industri, konservasi dan komuniti secara serentak kerana semuanya saling berkait.

Ekonomi biru yang kita bina tidak seharusnya hanya menghasilkan angka pertumbuhan. Ia mesti menghasilkan pekerjaan yang lebih baik, industri yang lebih berdaya saing, makanan yang lebih terjamin, komuniti pesisir yang lebih sejahtera dan alam sekitar yang terus mampu menyokong kehidupan.

Inilah makna sebenar pembangunan ekonomi yang lestari dan inklusif. Malaysia tidak boleh hanya menjadi negara yang mempunyai laut yang luas. Kita perlu menjadi negara yang bijak mengurus laut, berani meneroka potensinya dan bertanggungjawab memeliharanya.

Jika Belanjawan 2027 mampu menghubungkan dasar, R&D, industri, bakat dan komuniti dalam satu rantaian nilai ekonomi biru yang jelas, kita bukan sahaja sedang membangunkan sektor baharu.

Kita sedang membina asas kepada ekonomi masa depan negara iaitu ekonomi yang menjana nilai, memelihara alam dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi ukuran utama kemajuan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Profesor Dr. Suriyani Muhamad
Naib Canselor
Universiti Malaysia Terengganu

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.