JDT belasah PKR Svay Rieng 6-0

Facebook: JOHOR Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 9 Oktober- Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026/2027 dengan langkah kanan apabila membenam kelab dari Kemboja, PKR Svay Rieng FC 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Daniesh Amiruddin muncul watak utama dengan dua gol pada minit ke-78 dan ke-85.
  • Arif Aiman (38'), Marcos Guilherme (51'), Kevin Medina (60') dan Zaheditabar Shahab (70') menjaringkan gol.
  • Xisco puji kawalan permainan; McConkey akui banyak kesilapan individu perlu diperbaiki.

Pemain muda tempatan, Daniesh Amiruddin muncul antara watak utama kemenangan JDT apabila meledak dua gol pada minit ke-78 dan ke-85.

JDT membuka tirai jaringan menerusi Arif Aiman pada minit ke-38 menerusi rembatan dari luar kotak penalti untuk mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, JDT terus menguasai permainan dan menambah empat gol menerusi Marcos Guilherme pada minit ke-51, Kevin Medina (60′) dan Zaheditabar Shahab (70′).

Daniesh kemudian melengkapkan pesta gol JDT dengan dua jaringan masing-masing pada minit ke-78 dan ke-85.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata kemenangan berkenaan mencerminkan prestasi baik anak buahnya dalam mengawal permainan dalam pelbagai situasi.

Beliau berkata keputusan besar itu tidak menggambarkan perlawanan yang mudah, sebaliknya JDT menyedari keupayaan PKR Svay Rieng berdasarkan prestasi mereka sebelum ini.

“Mungkin ada yang menganggap perlawanan ini mudah kerana kami menang dengan keputusan besar, tetapi saya tahu kemampuan mereka, saya tahu cara mereka bermain dan saya mengikuti perkembangan mereka berdasarkan perlawanan terdahulu dalam kejuaraan,” katanya.

Sementara itu, Marcos Guilherme menyifatkan kemenangan berkenaan hasil usaha berterusan yang dilakukannya dalam setiap sesi latihan.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap sesi latihan dan apabila turun beraksi, saya hanya mahu menikmati perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih PKR Svay Rieng, Matthew Mervyn McConkey mengakui banyak kesilapan individu dilakukan anak buahnya sehingga menyumbang kepada kekalahan besar berkenaan.

“Banyak kesilapan individu dilakukan pemain dan ia sesuatu yang mengejutkan serta tidak boleh diterima. Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan masih banyak yang perlu kami perbaiki,” katanya.

Sementara itu, Xisco berkata JDT tidak berdepan masalah untuk menghadapi jadual padat apabila dijadual menentang Penang FC dalam aksi Piala FA di tempat lawan, petang esok.

Katanya, saiz skuad yang besar dimiliki JDT memberi kelebihan kepadanya untuk membuat penggiliran pemain dan membentuk kesebelasan utama bagi perlawanan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.