Dortmund yakin Nwaneri kembali menyinar

Pengendali Borussia Dortmund, Niko Kovac/Foto AFP

BERLIN, 23 November – Pengendali Borussia Dortmund, Niko Kovac, yakin pemain muda England, Ethan Nwaneri, mampu bangkit daripada prestasi kurang menyerlah ketika pasukan itu bakal berdepan kelab induknya, Arsenal, dalam aksi Liga Juara-Juara, Selasa ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nwaneri hanya mencatat satu bantuan jaringan dalam 13 penampilan, sekali gus mencetuskan laporan pinjamannya mungkin ditamatkan lebih awal.
  • Kovac berpuas hati dengan prestasi Nwaneri bersama England B-21, yang menyumbang dua bantuan jaringan ketika menewaskan Perancis.
  • Persaingan serangan Dortmund sengit, namun kecederaan Samuele Inacio mungkin membuka peluang; Kovac meminta Nwaneri bersabar dan terus bekerja keras.

Pemain berusia 19 tahun itu menyertai Dortmund secara pinjaman selama semusim daripada Arsenal pada hari terakhir jendela perpindahan, dengan harapan memperoleh lebih banyak minit permainan.

Namun, setakat ini Nwaneri hanya merekodkan satu bantuan jaringan daripada 13 penampilan dan semakin kerap memulakan perlawanan dari bangku simpanan.

Malah, beliau tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama Dortmund sejak pertengahan Oktober.

Situasi itu mencetuskan laporan media bahawa tempoh pinjamannya mungkin ditamatkan lebih awal pada Januari depan.

Bagaimanapun, Kovac tetap mempertahankan kemampuan pemain muda berkenaan, terutama selepas Nwaneri mempamerkan aksi positif bersama skuad bawah 21 tahun England ketika menewaskan Perancis 3-2, baru-baru ini.

Dalam perlawanan itu, Nwaneri menyumbang dua bantuan jaringan.

Kovac berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi Nwaneri dan percaya pemain itu sudah menunjukkan sebab Dortmund mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, persaingan sengit dalam jentera serangan Dortmund menuntut Nwaneri terus bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Antara pemain yang bersaing di posisi serangan termasuk Konstantinos Karetsas, Maximilian Beier, Serhou Guirassy dan Fabio Silva.

Peluang Nwaneri untuk kembali mendapat minit permainan juga mungkin terbuka susulan kecederaan serius yang dialami penyerang Itali, Samuele Inacio.

Kovac bagaimanapun mengingatkan Nwaneri supaya bersabar kerana peluangnya pasti akan tiba.

Nwaneri sebelum ini mencipta sejarah bersama Arsenal apabila menjadi pemain termuda beraksi dalam Liga Perdana Inggeris pada usia 15 tahun dan 181 hari, pada September 2022.

Beliau merekodkan 10 gol dan dua bantuan jaringan dalam 51 penampilan bersama The Gunners sebelum dipinjamkan ke Marseille musim lalu.

Dortmund kini berada di tangga teratas Bundesliga dengan kelebihan dua mata mengatasi juara bertahan, Bayern Munich, dan masih belum tewas dalam saingan liga musim ini.

Pertemuan Selasa ini turut menjadi aksi kompetitif pertama antara Dortmund dan Arsenal sejak 2014. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.