
KYIV, 9 Oktober- Ukraine pada Khamis mendakwa Rusia sengaja menyasarkan orang awam selepas 30 orang terbunuh apabila dua buah bas musnah dalam serangan di bandar Kramatorsk, antara serangan paling dahsyat dalam tempoh beberapa minggu.
- Zelensky beri amaran serangan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan; beliau kata angka korban mungkin meningkat.
- Presiden mendakwa Rusia cuba memusnahkan semua kehidupan di Donbas dan menggesa tindak balas antarabangsa.
- Gambar menunjukkan rangka bas hangus, mayat serta serpihan bergelimpangan di jalan.
- PBB mengesahkan lebih 17,000 kematian orang awam sejak konflik bermula, namun angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Presiden Volodymyr Zelensky berkata serangan itu “tidak akan dibiarkan tanpa tindakan”, sambil memberi amaran angka korban mungkin meningkat.
“Rusia cuba memusnahkan semua kehidupan di Donbas dan dunia mesti bertindak balas terhadap perkara ini,” katanya menerusi Telegram.
Dalam kejadian itu, pihak berkuasa tempatan menyiarkan gambar rangka besi bas yang hangus, dengan mayat dan serpihan bertaburan di atas jalan.
Serangan tersebut berlaku sehari selepas lima kanak-kanak antara 22 yang terbunuh apabila peluru berpandu Rusia mengenai sebuah blok pangsapuri lima tingkat di Pryluky, wilayah Chernigiv di utara Ukraine.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk mengecam tindakan Rusia itu.
“Saya terkejut dengan gelombang serangan yang membunuh orang awam di seluruh Ukraine sejak empat hari lalu, termasuk serangan mengerikan hari ini yang mengenai dua bas awam.
“Skala dan cara serangan ini — membunuh dan mencederakan orang di dalam bas, rumah serta tempat kerja di beberapa kawasan negara — amat dikesali,” katanya.
Terdahulu, PBB mengesahkan lebih 17,000 kematian orang awam sejak konflik bermula, namun jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi. -AFP