
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Beberapa cadangan bagi memperkukuh keupayaan dan daya saing kontraktor Bumiputera sedia diteliti kerajaan.
- Kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dan mekanisme pelaksanaan projek lebih berkesan diperlukan bagi meningkatkan daya saing kontraktor Bumiputera.
- Sesi libat urus memberi ruang kepada pemain industri mengemukakan pandangan, cabaran dan cadangan penambahbaikan.
- Isu utama termasuk cabaran aliran tunai, modal pusingan, kenaikan kos bahan binaan serta keperluan pembiayaan dan pelaksanaan projek.
- Kerajaan terbuka meneliti program latihan dan pendedahan teknologi untuk meningkatkan keupayaan serta daya saing kontraktor Bumiputera.
Cadangan itu termasuk kemudahan pembiayaan yang bersesuaian serta mekanisme pelaksanaan projek yang lebih berkesan.
Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan, perkara itu antara yang dibincangkan dalam sesi libat urus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, bersama Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, di sini, semalam.
“Sesi berkenaan memberi ruang kepada pemain industri mengemukakan pandangan, cabaran dan cadangan dalam usaha memperkukuh ekosistem kontraktor Bumiputera.
“Antara isu yang dibangkitkan ialah cabaran aliran tunai dan modal pusingan, peningkatan kos bahan binaan, keperluan pembiayaan serta pelaksanaan projek,” jelas MOF menerusi hantaran di Facebook.
Hantaran sama turut memaklumkan, kerajaan terbuka meneliti program latihan dan pendedahan teknologi bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing kontraktor Bumiputera.
“Pandangan daripada pemain industri akan terus menjadi input penting dalam memastikan dasar dan langkah kerajaan kekal relevan, berkesan serta memberi manfaat kepada industri dan pembangunan negara,” menurut MOF.
Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.