F1: Insiden gangguan perisian cetus huru-hara ketika perlumbaan

Insiden gangguan perisian mencetuskan panik kepada kesemua pemandu jentera yang terjejas./ RTM

SEPANG, 4 Oktober – Perlumbaan Formula One Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang hari ini terganggu susulan masalah perisian yang menyebabkan beberapa jentera hilang kuasa sebaik hujan mula turun, sekali gus mencetuskan situasi kelam-kabut di litar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa jentera tiba-tiba kehilangan kuasa, mencetuskan kekeliruan dan perlumbaan bergerak pada kelajuan amat perlahan.
  • Pasukan perlu muat naik kemas kini perisian di lorong pit menyebabkan perlumbaan ditangguh hampir sejam.
  • Pemandu berseloroh seperti Hamilton tentang 'perlumbaan Lego', namun Verstappen tekankan isu teknikal tidak sepatutnya berlaku.

Kekeliruan bermula apabila beberapa jentera secara tiba-tiba kehilangan kuasa ketika berada di atas litar, menyebabkan deretan kereta Formula 1 bergerak terlalu perlahan secara serentak.

Situasi luar biasa itu turut menyebabkan beberapa pemandu tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, dengan jentera mereka bergerak pada kelajuan yang jauh lebih rendah daripada kebiasaan.

Juara perlumbaan, Max Verstappen, berkata jentera miliknya mula terjejas sebelum beliau menyedari pemandu lain turut berdepan masalah sama.

“Enjin jentera saya yang mula terjejas dahulu. Apabila saya melihat ke cermin sisi, saya nampak semua orang turut perlahan.

“Saya terfikir, adakah mereka sedang menunggu saya atau apa sebenarnya yang berlaku? Kami memandu pada kelajuan sekitar 25 kilometer sejam di kawasan mendaki dan jentera langsung tidak bertenaga,” katanya.

Pemandu Mercedes, Kimi Antonelli, pula menyifatkan keadaan ketika itu sebagai sesuatu yang “gila”, apabila lima jentera pada satu ketika berada bersebelahan di laluan lurus kerana masing-masing tidak memahami apa yang sedang berlaku.

Sementara itu, Lewis Hamilton menyifatkan kejadian berkenaan secara berseloroh sebagai perlumbaan permainan Lego, sehingga mencetuskan gelak tawa dalam kalangan pemandu pada sidang media selepas perlumbaan.

“Ia seperti perlumbaan Lego, kuasa Legoland!” seloroh Hamilton.

Hamilton turut mendedahkan beliau terpaksa mengambil tindakan luar biasa dengan memberhentikan jentera di tepi litar sebelum mematikan dan menghidupkan semula sistem enjin.

Menurutnya, tindakan itu merupakan sesuatu yang belum pernah dilakukannya sebelum ini dalam perlumbaan.

Masalah berkenaan turut menyebabkan perlumbaan tertangguh hampir sejam apabila pasukan terpaksa memuat naik kemas kini perisian baharu kepada setiap jentera di lorong pit sebelum perlumbaan dapat disambung semula.

Walaupun insiden itu mengundang reaksi berseloroh dalam kalangan pemandu, Verstappen menegaskan masalah teknikal seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam sukan permotoran bertaraf dunia seperti Formula 1.

Beliau berharap pihak berkaitan mengambil iktibar daripada kelemahan berkenaan dan memastikan masalah sama tidak berulang pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.