Pelabur tempatan jadi penampan jualan asing di Bursa Malaysia

Gambar Hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Pelabur domestik terus menjadi penampan kepada tekanan jualan asing di Bursa Malaysia apabila institusi tempatan dan pelabur runcit merekodkan pembelian bersih bagi minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Institusi tempatan catat aliran masuk bersih RM352.4 juta, meneruskan pembelian dua minggu berturut-turut.
  • Pelabur runcit kekal pembeli bersih untuk minggu keenam dengan aliran masuk RM447.5 juta.
  • Institusi asing jual bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar RM799.9 juta.
  • Teknologi terima aliran masuk asing terbanyak; kewangan catat aliran keluar asing terbesar. ADTV runcit dan asing naik, institusi tempatan susut.

Menurut MBSB Investment Bank Berhad (MBSB IB), institusi tempatan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM352.4 juta, melanjutkan pembelian kepada dua minggu berturut-turut.

Trend sama turut dipamerkan pelabur runcit yang meneruskan belian bersih untuk minggu keenam dengan aliran dana berjumlah RM447.5 juta.

Sokongan domestik itu mengimbangi trend jualan bersih institusi asing untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah RM799.9 juta.

Institusi asing menjadi penjual bersih pada kesemua lima hari dagangan, dengan jualan tertinggi pada Rabu sebanyak RM228.4 juta.

Daripada segi sektor, teknologi menerima aliran masuk asing tertinggi sebanyak RM131 juta, diikuti tenaga RM93.2 juta dan pembinaan RM78.4 juta.

Sementara itu, sektor perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar asing terbesar sebanyak RM460.6 juta, diikuti utiliti RM339.8 juta dan penjagaan kesihatan RM163.1 juta.

Aktiviti dagangan pelabur runcit dan asing turut meningkat, dengan purata volum dagangan harian (ADTV) masing-masing naik 3.7 peratus dan 8.6 peratus, manakala institusi tempatan susut 7.9 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.