
GENTING HIGHLANDS, 3 Oktober – Perlawanan persahabatan pertama pasukan bola sepak Radio Televisyen Malaysia (RTM) di luar Lembah Klang menjadi antara platform penting dalam memperkukuh persediaan pasukan menghadapi Kejohanan Bolasepak Piala Ketua Pengarah Penyiaran RTM 2026.
- Perlawanan 90 minit berakhir seri 1-1, kedua-dua pasukan memberi saingan seimbang.
- Perlawanan dimanfaatkan untuk membina keserasian, meningkatkan kecergasan dan memupuk semangat kesukanan warga RTM.
- Pengurus Hairon tekankan latihan berterusan penting bagi membentuk pasukan berdisiplin, cergas dan bersemangat berpasukan.
- V80’s FC muncul dengan semangat persahabatan; dibentuk oleh rakan lama, menonjolkan hormat dan semangat kesukanan.
Aksi menentang V80’s FC yang berlangsung di Padang Sky Arena, di sini petang tadi bukan sekadar medan menguji keupayaan pemain, malah dimanfaatkan bagi membina keserasian, meningkatkan kecergasan serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga RTM.
Perlawanan selama 90 minit itu berakhir dengan keputusan seri 1-1, dalam aksi yang menyaksikan kedua-dua pasukan memberikan saingan seimbang.
Bagi Pengurus Pasukan Bolasepak RTM, Hairon Affandi Zainal Abidin, siri perlawanan persahabatan seperti ini penting bagi memastikan pasukan berada pada tahap persediaan yang baik, khususnya menjelang kejohanan yang bakal menemukan pasukan-pasukan dalam kalangan warga RTM.
“Aksi berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah persediaan berterusan sebelum menghadapi Kejohanan Bolasepak Piala Ketua Pengarah Penyiaran RTM 2026.
“Kemahiran bukan sahaja terhadap prestasi di atas padang, malah pembentukan pasukan yang lebih berdisiplin, cergas dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi,” katanya ketika ditemui RTM di sini.
Selain aspek taktikal dan kecergasan, aktiviti sukan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga kerja RTM.
Pada masa sama, perlawanan di luar Kuala Lumpur dan Selangor memberikan pengalaman berbeza kepada pasukan, selain membuka ruang untuk memperluas jaringan persahabatan menerusi sukan.
V80’s FC yang diterajui Pengurus Pasukan, Gunalan Kalaichelvan, pula hadir dengan semangat persahabatan dan kecintaan terhadap bola sepak.
Pasukan berkenaan dibentuk atas semangat mengumpulkan kembali rakan-rakan lama yang pernah bermain bersama, menjadikan perlawanan persahabatan itu bukan sahaja kompetitif, tetapi turut menonjolkan nilai persahabatan, hormat-menghormati dan semangat kesukanan.
Pertemuan RTM dan V80’s FC turut memperlihatkan bagaimana bola sepak mampu menjadi medium menyatukan individu daripada latar belakang berbeza, selain mewujudkan suasana sihat dan positif menerusi aktiviti fizikal.