F1 catat sejarah baharu, 260,000 banjiri SIC

Foto Bernama

SEPANG, 5 Oktober -Kepulangan Formula One (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mencipta sejarah baharu apabila lebih 260,000 peminat hadir sepanjang hujung minggu perlumbaan Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, kata Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Max Verstappen muncul juara, Kimi Antonelli kedua, Lewis Hamilton ketiga.
  • SIC bekerjasama rapat dengan Bahrain International Circuit, sokongan kerajaan dan pemegang taruh realisasikan perlumbaan bertaraf dunia dalam masa singkat.
  • Stefano Domenicali dan Presiden FIA memuji kerjasama, menyifatkan acara habis terjual serta sambutan peminat luar biasa.

Menurutnya, jumlah kehadiran berkenaan menjadikan acara itu rekod terbesar dalam sejarah SIC, sekali gus membuktikan kuasa F1 dalam menyatukan peminat dan menghasilkan pengalaman perlumbaan yang tidak dapat dilupakan.

“Kepulangan Formula 1 ke Sepang sekali lagi menunjukkan kuasa luar biasa sukan ini untuk menyatukan orang ramai dan menghasilkan hujung minggu perlumbaan yang tidak dapat dilupakan buat peminat dari seluruh dunia,” kata beliau.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 103,000 peminat hadir pada hari perlumbaan, menyaksikan Max Verstappen muncul juara, diikuti Kimi Antonelli di tempat kedua dan Lewis Hamilton di tempat ketiga.

Datin Anita berkata kejayaan penganjuran itu turut membuktikan apa yang mampu dicapai apabila organisasi, komuniti dan rakan strategik bergabung dengan visi yang sama.

Beliau berkata SIC sepanjang dua bulan lalu bekerjasama rapat dengan pasukan Bahrain International Circuit (BIC) dalam persiapan dan pelaksanaan perlumbaan berkenaan.

Menurutnya, kerjasama berkenaan, bersama sokongan kerajaan dan pemegang taruh, membolehkan Malaysia menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali, turut memuji kerjasama antara BIC dan SIC dalam merealisasikan perlumbaan berkenaan, yang disifatkannya sebagai acara habis terjual dan mencatat rekod kehadiran.

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, pula menyifatkan sambutan luar biasa peminat sebagai pencapaian besar, terutama mengambil kira tempoh singkat yang diberikan untuk merealisasikan penganjuran tersebut.

Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain, Shaikh Salman bin Isa Al Khalifa, berkata penganjuran itu berjaya membawa pengalaman Bahrain ke Malaysia menerusi platform F1, selain mengetengahkan budaya dan hospitaliti Bahrain kepada peminat di rantau ini.

Kehadiran 261,000 peminat sepanjang hujung minggu, termasuk 103,000 pada hari perlumbaan, sekali gus menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas hampir sedekad bukan sekadar menghidupkan semula aksi Formula 1 di Malaysia, malah mencipta rekod baharu untuk litar berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.