ASEAN perlu perkukuh peranan serantau — PM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – ASEAN perlu memperkukuh keupayaan untuk mencorak perkembangan serantau dan bukan sekadar menjadi platform pertemuan pemimpin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prinsip ASEAN centrality mesti diterjemahkan kepada keupayaan nyata mempengaruhi peristiwa dan menangani cabaran serantau.
  • Perbezaan antara negara perlu diselesaikan melalui rundingan, menumpu perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi.
  • Pembaharuan institusi global diperlukan untuk tadbir urus lebih adil; akauntabiliti, hak asasi dan keadilan ekonomi mesti diamalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip ASEAN centrality perlu diterjemahkan kepada keupayaan sebenar untuk mempengaruhi peristiwa dan menangani cabaran serantau.

“Kita bernasib baik berada dalam ASEAN, yang mana kita bersama-sama memegang teras kepimpinan ASEAN. Tetapi ia mesti membawa maksud keupayaan dan kuasa untuk mencorak keadaan, bukan sekadar menjadi penganjur mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Khazanah Megatrends Forum 2026 di sini hari ini.

Menurutnya, rantau ini mempunyai kelebihan apabila perbezaan antara negara dapat ditangani melalui rundingan, dengan tumpuan kepada perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi.

Perdana Menteri berkata, pengalaman di rantau lain yang berdepan konflik berpanjangan menunjukkan pertikaian, termasuk berkaitan sempadan, boleh membawa kemusnahan kepada negara terbabit.

Beliau berkata Malaysia sendiri mempunyai isu dengan beberapa negara jiran, termasuk Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina, selain isu di Laut China Selatan.

Bagaimanapun, katanya, hubungan baik masih dapat dikekalkan melalui pendekatan diplomasi dan penyelesaian perbezaan secara aman.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar berkata pembaharuan institusi global perlu diberi perhatian bagi memastikan tadbir urus antarabangsa lebih mencerminkan kepentingan negara-negara dunia.

Beliau berkata, masih terdapat keengganan dalam kalangan pihak yang mempunyai kuasa untuk melaksanakan pembaharuan terhadap institusi antarabangsa utama.

“Tetapi mereka yang memegang kuasa sangat berat hati untuk membuat pembaikan ke atas institusi global, bermula daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu, Pertubuhan Perdagangan Dunia, Bank Dunia, sehinggalah kepada Tabung Kewangan Antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyentuh usaha negara-negara Selatan Global melalui BRICS dan inisiatif baharu lain untuk mendapatkan pengaruh yang lebih seimbang dalam sistem antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, isu akauntabiliti dan ketidakseimbangan kuasa perlu diberi perhatian dalam tadbir urus global, termasuk dalam usaha menegakkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan ekonomi.

Menurutnya, prinsip-prinsip berkenaan perlu diterjemahkan dalam amalan dan pelaksanaan, bukan sekadar menjadi retorik di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.