
JERANTUT, 20 November – Pejabat FELDA Sungai Retang, Jerantut, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.16 pagi.
- Enam anggota dari balai bomba tempatan dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
- Operasi pemadaman menggunakan hos 200 kaki, satu breeching dan dua nozel dari tangki pam jentera.
- Tiada mangsa terlibat; punca kebakaran masih dalam siasatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.16 pagi.
Beliau berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berkenaan.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki, satu breeching serta dua nozel air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Kebakaran melibatkan sebuah bangunan pejabat berkeluasan 20 x 100 kaki persegi.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, dan punca kebakaran masih dalam siasatan.