
KUALA LUMPUR, 20 November – MBSB Research menyemak turun unjuran inflasi keseluruhan Malaysia bagi 2026 kepada 1.8 peratus berbanding dua peratus sebelum ini, susulan tekanan harga domestik yang kekal terkawal.
- Permintaan domestik berdaya tahan dan inflasi teras terkawal menyokong prospek kestabilan harga negara.
- Kawalan harga kerajaan, subsidi bahan api bersasar dan pendirian dasar monetari BNM dijangka membantu membendung tekanan inflasi.
- Risiko utama adalah kejutan geopolitik yang boleh mencetuskan tekanan inflasi melalui gangguan perdagangan dan bekalan komoditi.
- Inflasi keseluruhan meningkat sedikit pada Oktober disebabkan kenaikan harga tenaga dan kos pengangkutan; pengangkutan menyumbang ketara.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan domestik yang berdaya tahan serta inflasi teras yang terkawal terus menyokong prospek kestabilan harga negara.
Menurutnya, kawalan harga kerajaan, pelaksanaan subsidi bahan api bersasar serta pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang seimbang turut dijangka membantu membendung tekanan inflasi tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi.
“Permintaan domestik yang berdaya tahan dan inflasi teras yang terkawal masih menyokong prospek kestabilan harga negara,” menurut MBSB Research dalam nota penyelidikannya.
Bagaimanapun, firma itu mengingatkan bahawa kejutan geopolitik baharu kekal sebagai risiko utama yang boleh mencetuskan tekanan inflasi menerusi gangguan perdagangan global dan bekalan komoditi.
Mengulas perkembangan harga semasa, MBSB Research berkata inflasi keseluruhan negara meningkat sedikit kepada 1.9 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2026, terutama dipengaruhi kenaikan harga tenaga dan kos pengangkutan.
Sementara itu, inflasi teras terus menyederhana kepada 1.5 peratus pada Oktober berbanding 1.7 peratus pada September, selain mencatatkan penguncupan 0.1 peratus secara bulanan.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan inflasi negara meningkat kepada 1.9 peratus pada Oktober berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Indeks Harga Pengguna (IHP) turut meningkat kepada 137.7 mata berbanding 135.1 mata pada Oktober 2025.
Menurut DOSM, kumpulan pengangkutan menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan inflasi apabila mencatatkan kenaikan 4.2 peratus berbanding 2.5 peratus pada September 2026.