Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar Amerika

Gambar hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 20 November – Ringgit dibuka hampir mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat selepas minggu dagangan yang tidak menentu dalam keadaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, terjejas oleh ketidaktentuan global yang berlarutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDNK suku ketiga meningkat 5.5% mengatasi unjuran 5.3%, menyokong ringgit.
  • Dolar AS terus mengukuh; Indeks Dolar (DXY) naik 0.03% kepada 103.944.
  • Minit FOMC menunjukkan kecenderungan dasar lebih ketat; kemungkinan kenaikan kadar faedah 50 mata asas pada Disember tinggi.
  • Ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding pound dan euro, susut berbanding yen, bercampur-campur terhadap mata wang ASEAN.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan dicatatkan pada 4.1105/1155 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1145 semasa ditutup pada Khamis.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku ketiga sebanyak 5.5 peratus mengatasi unjuran konsensus sebanyak 5.3 peratus, membantu mengimbangi pengukuhan dolar AS yang berterusan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS kekal mengukuh dalam jangkaan meningkat bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengambil pendirian dasar monetari yang lebih ketat.

Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.03 peratus kepada 103.944 mata.

Beliau berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menunjukkan pendirian ahli jawatankuasa itu yang cenderung kepada dasar yang lebih ketat berikutan mereka menyasarkan inflasi kembali kepada paras sasaran bank pusat sebanyak 2 peratus.

“Oleh yang demikian, kemungkinan kenaikan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada Disember adalah tinggi.

“Justeru, ringgit dijangka kekal diniagakan pada RM4.10 hingga RM4.11 hari ini,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.3786/3851 daripada 5.4034/4093 semasa ditutup pada Khamis, naik berbanding euro kepada 4.5080/5135 daripada 4.5181/5231, bagaimanapun menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5736/5769 daripada 2.5705/5735.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1817/1861 daripada 3.1870/1908 dan tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.0915/1144 daripada 12.1232/1411.

Ringgit mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.45/6.47 dan rupiah Indonesia kepada 225.1/225.4. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.