
KUALA LUMPUR 5 OKTOBER – Peruntukan Belanjawan 2027 perlu diberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya pembangunan kemahiran berteknologi tinggi, selari keperluan industri dan perubahan landskap pekerjaan masa kini.
- Tumpuan belanjawan kepada pembangunan kemahiran TVET berteknologi tinggi sejajar keperluan industri.
- Peruntukan baharu perlu menyokong peningkatan tahap kemahiran dan kesinambungan program TVET sedia ada.
- Fokus kepada bidang semikonduktor, AI, teknologi digital dan tenaga boleh baharu untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Perkukuh penglibatan industri dalam pelaksanaan TVET bagi membuka peluang latihan, pendedahan sebenar dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Ketua Sekretariat Majlis TVET, Ts Dr Azmir Mohd Yunus berkata, selain memastikan program TVET sedia ada terus dilaksanakan, peruntukan baharu perlu menyokong peningkatan tahap kemahiran serta penglibatan industri yang lebih kukuh.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM7.9 bilion bagi TVET tahun ini, meliputi peruntukan pembangunan dan operasi kementerian yang melaksanakan program berkenaan.
“Dalam keadaan fiskal yang mencabar, kita harap peruntukan yang sesuai dapat diberikan kepada TVET supaya program sedia ada dapat diteruskan dan peluang pendidikan serta latihan kemahiran kepada anak muda dapat dikekalkan.
“Kita juga berharap ada program baharu yang dapat meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi, selain program yang mempunyai kerjasama dengan industri,” katanya selepas siaran Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Mengulas keutamaan Belanjawan 2027, Ts Dr Azmir berkata, tumpuan perlu diberikan kepada bidang berteknologi tinggi yang menjadi sebahagian daripada agenda TVET 2.0.
Antaranya termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan tenaga boleh baharu yang dilihat penting dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan sektor strategik negara.
Menurutnya, pengukuhan bidang berkenaan juga penting bagi memastikan pembangunan bakat TVET bergerak seiring keperluan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Beliau turut berharap penyertaan industri dalam pelaksanaan program TVET dapat dipertingkatkan bagi membuka lebih banyak peluang latihan dan pendedahan sebenar kepada golongan muda.
Pendekatan itu bukan sahaja dapat memperkukuh kualiti latihan, malah membantu memastikan kemahiran yang ditawarkan institusi TVET benar-benar memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.