
MARANG, 5 Oktober – Ekonomi biru bukan sekadar menawarkan peluang pelaburan, sebaliknya perlu memastikan kelangsungan sumber laut serta memberi manfaat kepada komuniti pesisir pantai yang bergantung kepada sektor berkenaan.
- Tambah pelaburan dalam sains, infrastruktur pemantauan dan sistem data bersepadu menggunakan satelit, dron, kapal dan kepakaran saintifik.
- Perkasakan penguatkuasaan dan operasi pengawasan untuk melindungi perairan negara daripada pencerobohan nelayan asing.
- Kekalkan subsidi, tingkatkan elaun sara hidup nelayan agar komuniti pesisir dapat menampung kos operasi dan keperluan harian.
Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini, Pensyarah dan Penyelidik Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd Uzair Rusli berharap kerajaan akan memberi penekanan kepada pelaburan dalam sains, sistem pemantauan dan penguatkuasaan.
Beliau berkata pelaburan dalam bidang sains penting bagi memahami keadaan serta potensi sumber laut sebelum aktiviti ekonomi diperluaskan.
Katanya, sistem data bersepadu antara agensi yang menggabungkan penggunaan satelit, dron, kapal dan kepakaran saintifik juga perlu diwujudkan bagi membolehkan keadaan perairan negara dipantau secara lebih menyeluruh.
“Ini sangat penting diberikan penekanan dalam pembentangan Belanjawan. Kami melihat infrastruktur sains, infrastruktur pemantauan dan infrastruktur data bersepadu perlu diberi perhatian kerana sebelum ini infrastruktur ini sering dilihat sebagai satu kos sahaja, tetapi sebenarnya ia juga perlu dikategorikan sebagai satu infrastruktur yang memberikan pulangan.
“Akhirnya, ekonomi biru mesti sampai kepada komuniti, khususnya komuniti pesisir pantai kita.”
Beliau turut menegaskan sistem pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkasa bagi melindungi perairan negara daripada pencerobohan nelayan asing.
Sementara itu, komuniti nelayan di negeri ini berharap Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada peningkatan elaun sara hidup bagi membantu mereka menampung kenaikan kos operasi dan keperluan harian.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu, Mohd Razif Embong berkata subsidi sedia ada perlu dikekalkan, selain penambaikkan elaun sara hidup nelayan.
“Minta kekalkan subsidi yang sedia ada. Lepas itu menambah lagi elaun sara hidup untuk nelayan demi kepentingan semua nelayan.
“Selain itu, mengetatkan lagi operasi di tengah laut kerana ada gangguan daripada nelayan asing”, katanya ketika ditemui RTM disini.
Komuniti pesisir pantai berharap Belanjawan 2027 tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi biru, tetapi turut mengambil kira kelangsungan sumber laut dan kebajikan golongan yang bergantung kepadanya sebagai punca pendapatan.