
BUKIT KATIL, 9 November – Sokongan lebih menyeluruh, termasuk kemudahan pembiayaan dan penyediaan fasiliti kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Melaka wajar diberi perhatian serius olehkerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
- Pengusaha IKS mahukan sokongan pembiayaan dan fasiliti bagi membantu operasi dan mengurangkan tekanan kos bahan mentah.
- Usaha promosi perlu diperkukuh termasuk platform pemasaran dan geran supaya produk tempatan mampu menembusi pasaran lebih luas.
- Kerajaan diminta tidak meminggirkan peniaga kampung dan terus mengetengahkan produk tempatan dalam pembangunan negeri.
Langkah itu penting bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan operasi serta mengembangkan perusahaan.
Seorang pengusaha IKS, Mohd Farhan Azuan berkata, tekanan kos semasa menyebabkan peniaga kecil memerlukan lebih banyak ruang dan peluang untuk meneruskan perniagaan.
“Kami sekarang ini tertekan dengan keadaan semasa, terutama bahan mentah. Jadi, kami memerlukan ruang bernafas untuk peniaga kecil dan peniaga IKS yang ada sekarang,” katanya.
Bagi Khairil Fikri Mohd Supian pula, bantuan kerajaan penting khususnya kepada usahawan yang berdepan kesukaran menyediakan modal sendiri ketika memulakan perniagaan.
“Kalau tak banyak pun, dapat sedikit-sedikit membantulah, dari segi fasiliti ataupun dana. Kadang-kadang ada benda yang kita perlukan, untuk keluar modal sendiri mungkin nak bermula itu mencabarlah,” katanya.
Selain isu kewangan, pengusaha turut mahu usaha promosi produk tempatan dipergiatkan bagi membolehkan mereka menembusi pasaran lebih luas dan bersaing dengan syarikat berskala besar.
Hamidah Ahmad berharap platform pemasaran khusus diwujudkan bagi mengetengahkan produk keluaran usahawan negeri itu.
“Kita kena ada satu platform khas untuk IKS dan bantuan dari segi geran dalam bisnes kita untuk kita majukan lagi,” katanya.
Sementara itu, Asrul Effendi Abd Aziz mengingatkan kerajaan bakal dibentuk supaya tidak meminggirkan peniaga kecil dari kawasan kampung dalam usaha membangunkan ekonomi negeri.
Beliau berharap produk keluaran usahawan tempatan terus diberi peluang untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada pembangunan Melaka.