
AYER KEROH, 7 November – Lebih banyak pusat media dijangka diwujudkan bagi memudahkan urusan pengamal media yang membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, bulan depan..
- Lokasi dan jumlah pusat media sedang dikenal pasti mengikut keluasan negeri dan keperluan petugas media.
- Kemudahan penting agar pengamal media luar Kuching mendapat akses sokongan sepanjang pilihan raya.
- Satu pusat di Kuching tidak mencukupi untuk liputan di Miri, Sibu dan kawasan lain.
- Meneliti kemungkinan kerjasama dengan RTM Sarawak bagi menggunakan kemudahan sedia ada.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, lokasi dan jumlah pusat media sedang dikenal pasti dengan mengambil kira keluasan negeri itu serta keperluan petugas media di kawasan berbeza.
Menurutnya, penyediaan kemudahan berkenaan penting bagi memastikan pengamal media terutama yang bertugas di luar Kuching turut mendapat akses kepada perkhidmatan sokongan sepanjang pilihan raya.
“Saya percaya memang lebih daripada satu pusat media akan diwujudkan supaya kita boleh beri perkhidmatan lebih baik untuk rakan-rakan media.
“Kalau kita hanya sediakan satu pusat media di Kuching, itu tidak mencukupi untuk mereka yang perlu membuat liputan di Miri, Sibu dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan ke pusat media PRN Melaka, di sini.
Jelas Teo lagi, pihaknya turut meneliti kemungkinan bekerjasama dengan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak bagi menggunakan kemudahan sedia ada untuk tujuan berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13, manakala penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.
Mengulas kemudahan bagi PRN Melaka, beliau memaklumkan sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dibuka di seluruh negeri dan boleh digunakan oleh pengamal media.