Kepimpinan baharu mampu pulihkan keyakinan terhadap UiTM Holdings

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM,4 Oktober – Kepimpinan baharu UiTM Holdings diyakini mampu memulihkan keyakinan terhadap syarikat berkenaan serta membawa perubahan menerusi pendekatan ‘game changer’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas CEO Azlizan Fadzil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah melibatkan harta lebih RM37 juta.
  • CEO Datuk Mohd Shukrie menyasarkan keuntungan sehingga RM90 juta mulai tahun depan melalui pelan pemulihan dan pelan perniagaan lima tahun.
  • Pengurangan kerugian hampir 90% daripada RM1.5 juta kepada kira-kira RM145,000 sebulan berdasarkan akaun Ogos.
  • Langkah penstrukturan semula tadbir urus dan kewangan strategik dilaksanakan sejak pengurusan baharu mula mengambil alih pada Januari 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keyakinan itu diberikan kepada Datuk Fathul Bari Mat Jahaya untuk menerajui usaha mengubah dan memperkukuh semula UiTM Holdings.

Menurutnya, kepimpinan baharu perlu menterjemahkan amanah yang diberikan bagi mengembalikan kekuatan UiTM Holdings.

“Saya mempunyai keyakinan bahawa Datuk Fathul Bari Mat Jahaya boleh membawakan game changer untuk mengubah UiTM Holdings.

“Itu sebabnya saya melontarkan ketiga-tiga amanah tadi, iaitu untuk memberikan kekuatan semula,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Ilmuan Islam Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM di sini.

Seminar berkenaan tutur dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad.

Sebelum ini, UiTM Holdings menjadi perhatian selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Azlizan Fadzil, 53 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan harta bernilai lebih RM37 juta.

Dalam perkembangan sama, CEO UiTM Holdings, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, syarikat itu menyasarkan keuntungan sehingga RM90 juta mulai tahun depan menerusi pelan pemulihan dan rancangan perniagaan bagi tempoh lima tahun.

Menurutnya, sasaran itu semakin hampir dicapai selepas UiTM Holdings berjaya mengurangkan kerugian bulanan hampir 90 peratus daripada RM1.5 juta sebulan tahun lalu kepada kira-kira RM145,000 berdasarkan akaun terbaharu bagi Ogos lalu.

Pengurangan kerugian itu dicapai menerusi pelbagai langkah penstrukturan semula tadbir urus dan kewangan strategik sejak beliau mengambil alih pengurusan syarikat pada Januari 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.