
KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Belanjawan 2027 wajar melaksanakan kajian struktur jangka panjang mengenai potensi penyatuan fungsi kutipan cukai antara Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
- Laksanakan kajian struktur jangka panjang termasuk analisis perbandingan model pentadbiran cukai bersepadu di peringkat antarabangsa.
- Nilai rangka kerja institusi semasa untuk mengenal pasti pertindihan fungsi dan ketidakcekapan pengurusan kutipan cukai.
- Kaji potensi integrasi data, penggunaan platform digital dan teknologi pematuhan berasaskan kecerdasan buatan untuk tingkatkan pematuhan.
- Sokong rundingan bersama pihak berkepentingan dan laksanakan dasar cukai berbilang tahun dengan pengumuman perubahan lebih awal.
Presiden Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM), Alan Chung berkata, langkah itu mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian dan integrasi data negara, serta memperkukuh pengalaman pembayar cukai.
“Kami mencadangkan agar satu kajian struktur jangka panjang dijalankan bagi menilai potensi penyatuan fungsi kutipan cukai, dengan skop termasuk analisis perbandingan model pentadbiran cukai bersepadu di peringkat antarabangsa.
“Selain itu, penilaian terhadap rangka kerja institusi semasa Malaysia, termasuk mengenal pasti pertindihan fungsi dan ketidakcekapan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama RTM.
Menurut beliau, skop kajian itu juga perlu merangkumi penilaian terhadap potensi integrasi data, termasuk penggunaan platform digital dan teknologi pematuhan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, ia perlu disokong rundingan bersama pihak berkepentingan, termasuk pembayar cukai, badan profesional dan agensi kerajaan bagi memastikan kajian itu dilaksanakan secara menyeluruh.
Usaha berkenaan dapat mengurangkan pertindihan fungsi dan mewujudkan sistem percukaian yang lebih bersepadu dengan maklumat pembayar cukai merangkumi cukai pendapatan, cukai tidak langsung dan cukai-cukai lain.
“Selain itu, ia juga dapat menyediakan antara muka bersepadu bagi urusan pematuhan dan penyampaian perkhidmatan dan memperkukuh pemantauan serta mengurangkan ketirisan melalui pengawasan yang diselaraskan dan bersepadu,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan pengubalan dasar cukai berbilang tahun dilaksanakan dengan cadangan perubahan dasar diumumkan secara lebih awal.
“Pendekatan itu berbeza daripada pelaksanaan secara berperingkat kerana beberapa cadangan dasar boleh diumumkan lebih awal untuk dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun bagi mencapai sasaran nisbah hasil cukai berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” jelasnya.
Belanjawan 2027 dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini dengan tumpuan antaranya kepada pengukuhan fiskal, mengurangkan kos sara hidup dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.