MyEG dan Zetrix AI digantung susulan tunggakan RM314 juta; tiada motif politik

Anthony Loke Siew Fook/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Oktober – Perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. (MyEG) dan Zetrix AI Berhad, syarikat – syarikat bawah Kumpulan MyEG sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan terus digantung sehingga keseluruhan tunggakan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026 diserahkan kepada kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOT dan JPJ mengadakan empat sesi libat urus, mengeluarkan 35 notis peringatan dan menetapkan tempoh penyelesaian tunggakan.
  • Kumpulan MYEG menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta; bank tidak memproses atas arahan syarikat.
  • Penggantungan tidak menjejaskan perkhidmatan JPJ. Orang ramai boleh guna MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter, kiosk dan Kaunter Mobile di KSAB serta BSI.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya tidak akan mempertimbangkan pembukaan semula perkhidmatan berkenaan selagi tunggakan bagi tempoh itu belum dilunaskan sepenuhnya.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ telah mengambil beberapa langkah sejak Mei lalu bagi mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan.

“Selain itu, sebanyak 35 notis peringatan telah dikeluarkan dan tempoh penyelesaian tunggakan turut ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung penjelasan penggantungan perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ di sini hari ini.

Pada 21 Ogos lalu, syarikat berkenaan menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan pada ketika itu.

Bagaimanapun, apabila cek berkenaan dikemukakan pada 30 September lalu, pihak bank tidak memprosesnya atas arahan syarikat berkenaan.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ turut akan mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada kumpulan MYEG.

Dalam pada itu, Anthony Loke menegaskan penggantungan berkenaan tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan JPJ kepada rakyat.

Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan berkaitan menerusi saluran rasmi dan alternatif yang disediakan JPJ termasuk aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kiosk JPJ.

Bagi pembayaran saman membabitkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, JPJ menyediakan kemudahan pembayaran melalui Kaunter Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.

Kaunter berkenaan beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam bagi memastikan urusan pembayaran saman dapat dilaksanakan dengan lancar di kedua-dua pintu masuk berkenaan.

Sebelum ini, Kumpulan MYEG dilantik sebagai ejen pemungut hasil JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pertukaran hak milik kenderaan motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) serta pembayaran saman secara elektronik sejak tahun 2000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.