Nahas bas mini di Mesir ragut 10 nyawa, 24 cedera

Foto AFP

GIZA, 1 November – Sekurang-kurangnya 10 orang maut, manakala 24 lagi cedera selepas sebuah bas mini bertembung dengan sebuah lori di lebuh raya di barat Kaherah, Mesir, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan berlaku berhampiran bandar '6th of October' di wilayah Giza, pinggir barat Kaherah.
  • Kementerian Kesihatan berkata angka korban dan kecederaan belum muktamad, pihak berkuasa sedang menilai keadaan di lokasi.
  • Mesir terus berdepan krisis keselamatan jalan raya, dengan statistik menunjukkan puluhan ribu cedera dan beribu maut setiap tahun.

Kementerian Kesihatan Mesir dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan berlaku berhampiran bandar ‘6th of October’, di wilayah Giza, yang terletak di pinggir barat ibu negara itu.

Daripada jumlah mangsa yang cedera, 10 dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Jurucakap kementerian, Hossam Abdel Ghaffar berkata, angka korban dan kecederaan itu masih belum muktamad dan pihak berkuasa sedang menilai keadaan di lokasi kejadian.

Kemalangan itu merupakan insiden terbaharu dalam beberapa siri nahas maut di Mesir, yang terus berdepan cabaran keselamatan jalan raya akibat faktor seperti pemanduan berbahaya, penyelenggaraan kenderaan yang lemah dan penguatkuasaan undang-undang trafik yang tidak konsisten.

Menurut agensi statistik kerajaan Mesir, kemalangan jalan raya di negara itu mengakibatkan lebih 75,000 orang cedera dan meragut lebih 5,000 nyawa setiap tahun.

Awal bulan ini, 13 orang maut manakala 34 lagi cedera selepas sebuah lori besar merempuh bas pelancong di barat Kaherah.

Bulan lalu, nahas bas di Semenanjung Sinai mengorbankan 22 orang, termasuk 10 pelancong dari Jordan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.