Malaysia tamat penantian 12 tahun tundukkan Vietnam

Penyerang Harimau Malaya, Bergson Da Silva beraksi menentang Vietnam pada perebutan tempat ketiga Piala FIFA ASEAN CUP 2026 di Stadium Utama Gelora Bung Karno / Foto BERNAMA

JAKARTA, 5 Oktober – Malaysia menamatkan penantian 12 tahun untuk menewaskan Vietnam selepas mencatat kemenangan 1-0 pada aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fergus Tierney masuk gantian dan meledak gol tunggal pada minit ke-62, muncul wira Harimau Malaya.
  • Cheng Hoe membuat tiga pertukaran, merehatkan Brad Tapp dan Arif Aiman; Dion Cools tidak dapat diturunkan atas urusan keluarga.
  • Ahmad Syihan dan barisan pertahanan bertungkus lumus menafikan beberapa percubaan, memastikan Malaysia menamatkan kejohanan tanpa bolos.
  • Harimau Malaya menutup kempen di tempat ketiga dengan nota positif, terlepas peluang mara ke final kerana jumlah jaringan.

Pemain gantian Fergus Tierney muncul wira Harimau Malaya apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-62, sekali gus memastikan skuad kendalian ketua jurulatih sementara Tan Cheng Hoe menamatkan kempen di tempat ketiga.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Malaysia yang kali terakhir menewaskan Vietnam pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014.

Pada perlawanan hari ini, Cheng Hoe melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama dengan merehatkan tonggak pertahanan Brad Tapp dan pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi, manakala kapten Dion Cools tidak dapat diturunkan selepas meninggalkan kem kebangsaan atas urusan keluarga yang mendesak.

Vietnam tampil lebih mengancam pada babak pertama dengan beberapa kali menguji benteng negara menerusi gerakan serangan dan hantaran lintang tinggi yang memaksa barisan pertahanan serta penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi bekerja keras.

Bagaimanapun, Malaysia hampir memecah kebuntuan pada minit ke-39 apabila penyerang naturalisasi Bergson da Silva melakukan gerakan menarik melepasi seorang pertahanan Vietnam, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Patrik Le Giang.

Empat minit kemudian, skuad kendalian Kim Sang-sik membalas menerusi sepakan percuma jarak dekat Nguyen Hai Long, namun percubaannya mudah didakap Ahmad Syihan.

Pada masa kecederaan babak pertama, Ngo Dang Khoa mencuba nasib dari luar kotak penalti, tetapi rembatannya sekadar tersasar tipis di sebelah kanan gawang Malaysia.

Vietnam meneruskan tekanan selepas permainan bersambung apabila Williams Minh Hoang melepaskan rembatan rendah pada minit ke-57, namun bola sedikit tersasar di sebelah kiri gawang.

Dua minit kemudian, giliran Malaysia mengancam apabila Bergson berjaya melepasi perangkap ofsaid, tetapi rembatan kencangnya melebar di sebelah kanan pintu gol.

Tierney yang dibawa masuk menggantikan Bergson tidak mengambil masa lama untuk mencipta impak apabila menerima hantaran Manuel Hidalgo sebelum melakukan pusingan pantas dan melepaskan rembatan deras menewaskan Le Giang untuk meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-62.

Ahmad Syihan bersama benteng pertahanan negara kemudian berhempas pulas mempertahankan kelebihan itu, termasuk menafikan percubaan Le Pham Thanh Long pada penghujung permainan, sekali gus memastikan Malaysia menamatkan kejohanan tanpa bolos.

Kemenangan itu turut membolehkan Harimau Malaya menutup kempen dengan nota positif selepas terlepas tipis peluang mara ke final berdasarkan jumlah jaringan, biarpun berkongsi mata dan perbezaan gol dengan tuan rumah Indonesia dalam Kumpulan A Divisyen 1.

Malaysia pernah menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun tahun lalu, namun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan keputusan itu dan memberikan kemenangan 3-0 kepada skuad Golden Star Warriors susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.