
KUALA LUMPUR, 9 Oktober –Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) menjadi talian hayat utama bagi penduduk khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, berikutan kekurangan infrastruktur jalan darat yang baik.
- Peruntukan dana Belanjawan 2027 untuk helikopter baharu dan penyelenggaraan berkala bagi menjamin keselamatan pesakit dan petugas kesihatan.
- Utamakan saringan awal dan rawatan pencegahan dalam Belanjawan 2027 untuk kurangkan penyakit kronik dan kos rawatan tinggi.
- Pelihara kebajikan doktor dan petugas klinikal supaya tidak meninggalkan sistem, jamin kemampanan sistem kesihatan awam negara.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Kanan Jabatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Aidalina Mahmud berkata, aspek berkenaan perlu diberi perhatian menerusi Belanjawan 2027.
Justeru, kerajaan disaran memperuntukkan dana bagi menyediakan helikopter baharu serta memastikan penyelenggaraan berkala dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pesakit dan petugas kesihatan.
“Kita berkhidmat bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga kepada petugas kesihatan,” katanya kepada pemberita RTM.
Beliau juga berharap Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada saringan awal dan rawatan pencegahan penyakit, bukan hanya rawatan di hospital.
Katanya, langkah pencegahan pada peringkat awal dapat mengurangkan risiko penyakit menjadi kronik yang memerlukan kos rawatan tinggi, selain menyukarkan penduduk di kawasan pedalaman mendapatkan akses kepada kemudahan hospital.
Profesor Madya Dr. Aidalina turut menegaskan kepentingan menjaga kebajikan pegawai perubatan dan petugas klinikal bagi memastikan kemampanan sistem kesihatan awam negara.
“Sektor kesihatan merupakan sektor yang amat bergantung kepada tenaga manusia. Kehilangan tenaga manusia dalam bidang ini adalah satu kerugian besar kepada negara. Untuk melatih seorang doktor mahupun pegawai sains kesihatan bersekutu memerlukan tempoh yang panjang serta pelaburan yang tinggi. Sekiranya kebajikan mereka tidak dijaga sehingga menyebabkan mereka meninggalkan sistem, sistem kesihatan awam negara berisiko untuk runtuh,” katanya.