UMT-Maritim Malaysia perkukuh sinergi ilmu, inovasi dan bakat maritim negara

Majlis Menandatangani MoU antara UMT-Maritim Malaysia

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim, penyelidikan, teknologi marin serta pembangunan modal insan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sinergi ilmu dan pengalaman lapangan menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi untuk cabaran maritim negara.
  • Gabungan kepakaran UMT dan keupayaan operasi Maritim Malaysia memperkukuh pendekatan penyelesaian berorientasikan keperluan sebenar di laut.
  • Program latihan profesional dan pengajian meningkatkan kompetensi anggota serta memberi peluang lesen menyelam dan ijazah sarjana.
  • PASKAM membentuk disiplin, kepimpinan dan minat maritim dalam kalangan mahasiswa bagi membina bakat generasi hadapan.

Kerjasama ini menjadi platform penting dalam menghubungkan kepakaran akademik dan penyelidikan UMT dengan pengalaman serta keperluan operasi sebenar di lapangan, sekali gus menghasilkan penyelesaian yang lebih berimpak kepada negara.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, cabaran maritim yang semakin kompleks memerlukan sinergi antara ilmu, teknologi, inovasi dan pengalaman lapangan.

“UMT melihat kerjasama dengan Maritim Malaysia sebagai satu perkongsian strategik bagi memastikan ilmu dan penyelidikan yang dibangunkan di universiti mempunyai hubungan yang kukuh dengan keperluan sebenar di laut.

“Pada masa yang sama, cabaran di lapangan boleh diterjemahkan menjadi ruang penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi baharu. Inilah bentuk pemindahan ilmu dua hala yang ingin kita perkukuh,” katanya menerusi siaran media UMT.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata kerjasama antara kedua-dua institusi penting dalam menggabungkan kepakaran akademik UMT dengan pengalaman dan keupayaan operasi Maritim Malaysia bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih berorientasikan keperluan sebenar di laut.

“Dalam persekitaran maritim yang semakin kompleks, kekuatan penguatkuasaan tidak boleh hanya bergantung kepada aset dan anggota. Kita memerlukan ilmu, teknologi, penyelidikan, inovasi dan kepakaran sebagai pengganda kekuatan operasi.

“Kerjasama dengan UMT membuka ruang untuk kita menghubungkan pengalaman dan cabaran sebenar di laut dengan kepakaran akademik dan penyelidikan, sekali gus membangunkan pendekatan serta penyelesaian yang lebih bersasar untuk memperkukuh keupayaan maritim negara,” katanya.

Kerjasama itu turut dilaksanakan menerusi pelbagai program di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, dengan sokongan keselamatan dan aset Maritim Negeri Terengganu.

“Dari aspek pembangunan profesional, tujuh pegawai Maritim Malaysia telah berjaya menamatkan pengajian dalam Program Sarjana Pengurusan, Pengurusan Pantai Zon Bersepadu di UMT, manakala tujuh anggota agensi memperoleh lesen menyelam skuba melalui universiti berkenaan.

“Dalam pembangunan bakat generasi muda, Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) yang diwujudkan pada 22 Oktober 2022 terus menjadi platform untuk mendedahkan mahasiswa kepada aspek penguatkuasaan, keselamatan dan pembangunan maritim, di samping membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri”, menurut kenyataan media UMT.

Prof. Dr. Suriyani berkata, UMT turut bersedia memperluas kerjasama dengan Maritim Malaysia dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, inovasi teknologi marin, latihan profesional, perkongsian kepakaran serta pembangunan kompetensi.

Kerjasama berterusan ini diyakini mampu memperkukuh ekosistem maritim negara melalui sinergi ilmu, operasi dan pembangunan bakat, sekali gus melahirkan generasi maritim masa hadapan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya tahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.