RUU Makanan (Pindaan) 2026 diluluskan – KKM

Foto KKM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan serta melindungi kesihatan rakyat daripada risiko makanan yang memudaratkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan memperketat kawalan bahan bersentuhan dengan makanan, termasuk sarung tangan dan plastik pembungkusan.
  • Memperkukuh kuasa Ketua Pengarah Kesihatan untuk menangani produk berbahaya dan menutup premis makanan yang terbukti memberi risiko.
  • Membenarkan maklumat awam disiarkan tanpa menunggu perintah mahkamah serta mengukuhkan penguatkuasaan dan semakan kadar penalti.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, pindaan itu merangkumi beberapa langkah utama, termasuk memperketat kawalan bahan bersentuhan dengan makanan serta memperkukuh kuasa penguatkuasaan terhadap produk makanan yang berbahaya kepada kesihatan.

RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas.

“Akta Makanan 1983 \(Akta 281\) yang bertujuan melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan serta penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, tidak pernah dikaji secara menyeluruh sejak diwartakan 43 tahun lalu.

“Sehubungan itu, pindaan berkenaan dilihat relevan bagi memastikan peruntukan undang-undang sedia ada terus memenuhi keperluan semasa, selain melindungi hak dan kepentingan rakyat untuk mendapatkan makanan yang selamat di pasaran,” menurut kenyataan itu.

Antara perubahan utama ialah memperkukuh kawalan terhadap bahan yang bersentuhan dengan makanan, termasuk sarung tangan dan plastik pembungkusan makanan, yang sebelum ini tidak dikawal secara menyeluruh.

“Pindaan itu turut memperkukuh kuasa Ketua Pengarah Kesihatan untuk menangani produk makanan yang memudaratkan kesihatan, termasuk menutup premis makanan yang terbukti menyediakan makanan mengandungi bahan berbahaya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, maklumat berkaitan boleh disiarkan kepada orang awam tanpa perlu menunggu perintah mahkamah.

KKM turut memberi tumpuan kepada pengukuhan aktiviti penguatkuasaan serta kajian semula kadar penalti bagi memastikan tindakan terhadap pelanggaran undang-undang keselamatan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

RUU Makanan (Pindaan) 2026 itu seterusnya akan dibahaskan di Dewan Negara pada penggal yang sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.