
KUCHING, 9 Oktober – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya menahan dua lelaki yang disyaki ahli sindiket pengedaran dadah dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 28 September lalu, sekali gus merampas dadah jenis pil Erimin 5 seberat 32.73 kilogram bernilai RM3.3 juta.
- Sindiket dipercayai aktif sejak Ogos 2026, mendapatkan bekalan dari Johor Bahru lalu dibawa melalui penerbangan untuk diedarkan.
- Rampasan dianggarkan boleh memudaratkan sehingga 163,650 individu.
- Satu suspek ada tiga rekod jenayah lampau; seorang lagi mempunyai dua rekod kesalahan.
- Kedua-dua suspek didakwa di bawah Seksyen 39B; jika sabit boleh dikenakan hukuman mati, penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 39 tahun itu ditahan di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak.
“Rampasan sebanyak 32,730 gram dadah itu dianggarkan boleh memudaratkan sehingga 163,650 individu.
“Sindiket itu dipercayai aktif sejak Ogos 2026, dengan modus operandi mendapatkan bekalan dadah dari Johor Bahru sebelum membawanya melalui penerbangan ke Kuching untuk diedarkan di sekitar bandar raya itu.
“Semakan rekod mendapati suspek berusia 25 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod kesalahan jenayah,” katanya pada sidang media di Kuching, hari ini.
Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek berusia 25 tahun positif methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine (benzo), sementara seorang lagi negatif dadah.
Kedua-dua suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Kuching.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.