Serangan dron rosakkan bangunan PBB di Khartoum

Anggota keselamatan berkawal di lokasi bangunan musnah akibat serangan dron di Khartoum, Sudan/Foto AFP

KHARTOUM, 23 November – Sebuah bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara Sudan, Khartoum, mengalami kerosakan selepas terkena serangan dron awal pagi Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan turut memusnahkan sebuah rumah dan mencederakan seorang penduduk, sementara orang awam bimbang tentang keselamatan kanak-kanak.
  • Keluarga yang baru menemui tempat perlindungan tertanya-tanya ke mana lagi mereka boleh berlindung.
  • OCHA mengesahkan premisnya terjejas dan menyifatkan ancaman terhadap petugas kemanusiaan sebagai tidak boleh diterima.
  • Sumber tentera Sudan mendakwa dron dilancarkan dari Ethiopia, namun negara itu menafikannya.

Serangan turut memusnahkan sebuah rumah kediaman, manakala beberapa letupan dilaporkan kedengaran berhampiran lapangan terbang dan beberapa kawasan lain di bandar itu antara pukul dua hingga empat setengah pagi.

Menurut penduduk, serangan itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam yang masih berdepan konflik berpanjangan.

Seorang penduduk, Al-Nour Adam, berkata beliau menemui seorang individu yang cedera pada bahagian lengan kiri, dada dan kepala selepas serangan berlaku.

Beliau turut menyifatkan serangan itu sebagai tidak terkawal sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak.

Seorang lagi penduduk, Yasser Hassan, berkata keluarganya baru sahaja menemui tempat perlindungan sebelum serangan terbaharu berlaku, sekali gus menyebabkan mereka tertanya-tanya ke mana lagi perlu berlindung.

Sementara itu, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) mengesahkan premis badan dunia itu turut terjejas dalam serangan berkenaan.

OCHA menyifatkan ancaman terhadap petugas kemanusiaan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber tentera Sudan mendakwa dron yang digunakan dalam serangan itu dilancarkan dari lapangan terbang Bahir Dar di Ethiopia.

Bagaimanapun, Ethiopia menafikan dakwaan berkenaan.

Tentera Sudan sebelum ini turut menuduh Ethiopia membantu kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), yang berperang dengan tentera kerajaan sejak April 2023.

Konflik itu mencetuskan krisis kemanusiaan besar, termasuk perpindahan penduduk dan kebuluran, dengan angka korban dianggarkan melebihi 200,000 orang.

Serangan terbaharu itu sekali lagi meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam, ketika penggunaan dron dalam konflik berkenaan semakin meluas. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.