Ukraine dakwa serang dua bot Rusia di luar pesisir Libya

Foto AFP

KIEV, 23 November– Ukraine mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap dua kapal Rusia di luar pelabuhan Benghazi, Libya, sambil mendakwa salah satu kapal tersebut telah karam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBB mengecam serangan itu dan memberi amaran Libya tidak seharusnya menjadi medan konflik kuasa asing.
  • Zelensky berkata pasukan Ukraine menggunakan tujuh dron tentera laut buatan negara itu dalam operasi berkenaan.
  • Ukraine mendakwa kapal korvet Rusia, Merkury, ditenggelamkan dan sebuah helikopter tempur Ka-27 di atasnya musnah.
  • Kapal kargo Rusia, MV ANGARA, yang didakwa digunakan untuk mengangkut senjata, turut menjadi sasaran serangan.

Serangan itu merupakan perkembangan terbaharu yang menyaksikan konflik antara kedua-dua negara melangkaui sempadan kawasan perang yang sudah berlarutan lebih empat tahun.

Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan berkenaan dan memberi amaran Libya, yang masih berdepan perpecahan susulan perang saudara, tidak seharusnya menjadi medan konflik kuasa asing.

Menerusi kenyataan di platform X, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan pasukan tenteranya menggunakan tujuh dron tentera laut buatan negara itu dalam operasi berkenaan.

“Segala-galanya berlaku di luar pesisir Libya.

“Walaupun pihak musuh berusaha sedaya upaya untuk menangkis serangan tersebut, kapal korvet Rusia, Merkury, telah ditenggelamkan,” tulis Zelensky di platform X.

Menurut Zelensky, sasaran kedua adalah kapal kargo kering Rusia, MV ANGARA, yang didakwa digunakan untuk mengangkut senjata.

“Sasaran berjaya dibedil,” katanya.

Zelensky turut mendakwa, sebuah helikopter tempur Ka-27 yang berada di atas kapal Merkury turut musnah dalam serangan berkenaan.

Serangan itu susulan insiden sebuah dron melanggar kapal kargo Rusia di timur Laut Baltik pada Sabtu, berhampiran perairan Finland.

Pengawal Sempadan Finland sebelum ini menyatakan serangan berkenaan dilakukan oleh Ukraine.

Sementara itu, Misi Bantuan PBB di Libya menyuarakan kebimbangan serius terhadap serangan berkenaan dan menggesa siasatan segera, bebas serta telus dijalankan.

“Libya tidak mampu dan tidak seharusnya menjadi medan pertempuran bagi konflik negara asing,” demikian menurut kenyataan UNSMIL di platform X.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.