
HULU KLANG, 23 November – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan seorang pegawainya ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah.
- Pegawai wanita AKPS mengesan tindakan pegawai atasan yang didakwa melanggar prosedur.
- Ketua Pengarah AKPS sedia bekerjasama dengan PDRM untuk membongkar dan memutuskan rangkaian penyeludupan migran.
- Keberanian pegawai wanita itu dipuji sebagai titik permulaan perubahan dalam agensi.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penahanan itu susulan seorang pegawai wanita AKPS sendiri mengesan tindakan pegawai atasan yang didakwa melakukan sesuatu di luar prosedur ditetapkan.
Tegasnya, beliau sedia untuk memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membongkar dan memutuskan rangkaian penyeludupan migran.
“Saya sedia beri kerjasama. Tangkaplah sesiapa sahaja yang terlibat. Saya rasa kita sudah cukup dengan kegiatan seperti ini.
“Rakyat Malaysia sudah muak dengan aktiviti sebegini, seperti yang telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau memuji tindakan berani pegawai wanita berkenaan yang disifatkan sebagai satu titik permulaan kepada perubahan dalam agensi itu.
“Saya amat menghormati beliau. Saya akan berjumpa beliau dalam masa terdekat untuk mengucapkan terima kasih kerana pada saya, hanya seorang individu mampu mengubah apa yang berlaku di lapangan.
“Keberanian seperti ini harus saya hargai dan hormati kerana ia merupakan titik permulaan kepada perubahan yang ingin kita bawa,” katanya.
Pada 17 November lalu, seorang penjawat awam berusia 40-an ditahan, selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah di KLIA Terminal 2.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).