Lari daripada PGA, kereta bawa lapan PATI warga Myanmar terbabas

Anggota PGA menahan antara lapan PATI selepas kereta dinaiki mereka terbabas/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 23 November –Cubaan seorang lelaki membawa lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan sebuah kereta jenis hatchback gagal apabila kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar penghadang jalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu tempatan berusia 34 tahun dikesan memandu mencurigakan di Jalan Pak Keral sebelum memecut apabila menyedari diekori PGA.
  • Pemeriksaan menemukan lapan warga Myanmar, termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan, yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
  • Pemandu mengaku menerima upah RM450 setiap perjalanan; ujian air kencingnya positif syabu dan kes disiasat mengikut beberapa akta.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi ketika lelaki itu cuba melarikan diri daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Neting, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki tempatan berusia 34 tahun itu dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pak Keral menghala ke Jalan Tali Air.

“Menyedari diekori pasukan keselamatan, pemandu terbabit bertindak memecut kenderaan sebelum terbabas di hadapan sebuah Sekolah Kebangsaan.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita, termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Hasil soal siasat awal mendapati pemandu mengaku menerima upah RM450 bagi setiap perjalanan untuk membawa PATI. Kesemua warga Myanmar itu dipercayai hendak dihantar ke Stesen Bas Melor, Kota Bharu sebelum dibawa oleh pengangkut lain ke Kuala Lumpur,” katanya.

Lapan PATI warga Myanmar ditahan di Jalan Pak Keral berhampiran Jalan Tali Air Kampung Neting Tumpat, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan sebuah kereta hatchback, lapan telefon bimbit dan wang tunai RM100 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM33,100.00

Ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu turut didapati positif dadah jenis syabu.

Menurutnya, lelaki terbabit mengaku melakukan kegiatan membawa PATI secara sambilan dan menggunakan kereta sewa untuk tujuan berkenaan.

Siasatan awal turut mendapati kesemua warga Myanmar itu dipercayai memasuki negara ini melalui Pantai Geting, Tumpat dengan bantuan ejen yang mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM6,000 seorang.

Mereka juga dipercayai dijanjikan pekerjaan sebagai buruh di Kuala Lumpur.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.