HRD Corp berjaya kutip levi RM2.223 bilion

HRD Corp turut menyediakan pembiayaan latihan dalam sembilan bidang tumpuan teknologi

KUALA LUMPUR, 23 November – Levi berjumlah RM2.223 bilion berjaya dikutip Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) tahun ini dengan RM2.099 bilion daripadanya diluluskan sebagai bantuan kewangan bertujuan membiayai program latihan pekerja tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Levi satu peratus dikenakan kepada majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja tempatan bagi membiayai pembangunan modal insan.
  • Bantuan kewangan menyokong latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula pekerja tempatan.
  • Pembiayaan latihan meliputi sembilan bidang teknologi bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan memaklumkan ke pengetahuan Sidang Dewan Rakyat bahawa levi pada kadar satu peratus itu dikenakan kepada majikan yang mempunyai 10 atau lebih pekerja tempatan bagi membiayai pembangunan modal insan selaras Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta 612).

“Kadar levi satu peratus berperanan sebagai mekanisme pembiayaan yang penting bagi memastikan kesinambungan pelaburan dalam pembangunan kemahiran tenaga kerja negara ini di samping menyokong agenda peningkatan produktiviti dan daya saing ekonomi Malaysia.

“Jumlah levi yang dikutip telah diluluskan sebagai bantuan kewangan bagi membiayai program latihan untuk tujuan peningkatan kemahiran upskilling dan latih semula reskilling pekerjaan Malaysia,”katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, HRD Corp turut menyediakan pembiayaan latihan dalam sembilan bidang tumpuan teknologi termasuk Industri 4.0, teknologi masa hadapan, fintech, blockchain, teknologi hijau, pembinaan pintar, pertanian pintar, aeroangkasa serta micro-credential.

Inisiatif itu bertujuan memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan industri semasa dan masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.