
SUBANG JAYA, 5 Oktober – Gillian Lim dan Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek muncul juara kategori Terbuka Wanita dan Lelaki pada Kejohanan Boling Terbuka Kebangsaan Ke-48 di Sunway Mega Lanes, di sini hari ini.
- Gillian akui berdepan kemerosotan prestasi beberapa bulan sebelum menewaskan Adelia 195-165 pada final stepladder wanita.
- Sokongan keluarga di Sarawak menjadi sumber kekuatan untuk Gillian bangkit selepas beberapa kali terlepas peluang ke final.
- Syafiq menewaskan Tun Hakim 191-164 pada final dan meraih kejuaraan ketiga dalam kejohanan itu.
- Syafiq ubah strategi serta guna bola lebih stabil, membuka peluang dipilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Asia di Doha.
Gillian menamatkan penantian untuk kembali ke prestasi terbaik selepas menewaskan Adelia Nur Irwan Syazalee 195-165 pada final stepladder wanita.
Kemenangan itu amat bermakna buat pemain berusia 27 tahun berkenaan yang mengakui berdepan kemerosotan prestasi sejak beberapa bulan lalu.
“Saya gembira kerana sejak beberapa bulan lalu saya bergelut dengan prestasi permainan. Saya juga gembira kerana berjaya bangkit dengan lebih kuat untuk kejohanan kali ini,” katanya ketika ditemui RTM.
Menurut Gillian, sokongan keluarganya di Sarawak menjadi antara sumber kekuatan untuk terus bangkit selepas beberapa kali terlepas peluang mara ke final akibat kemerosotan prestasi.
Dalam saingan lelaki pula, Syafiq menewaskan Tun Hakim Tun Hasnul Azam 191-164 pada final stepladder untuk meraih kejuaraan ketiganya dalam Kejohanan Boling Terbuka Kebangsaan.
Sebelum itu, pemain berusia 40 tahun itu turut menewaskan lawan sama 226-214 pada pusingan sebelumnya.
Syafiq menyifatkan kemenangan itu cukup bermakna, terutama kerana ia mungkin menjadi kejuaraan terakhirnya dalam kejohanan berkenaan sebagai pemain kebangsaan.
“Ini kali ketiga saya memenangi Kejohanan Boling Terbuka Kebangsaan dan mungkin ini kali terakhir saya memenanginya dengan memakai jersi pemain kebangsaan, jadi kemenangan kali ini cukup bermakna buat saya,” katanya.
Syafiq bangkit daripada kedudukan tercorot ketiga selepas blok pertama dengan mengubah strategi permainan serta menggunakan bola yang lebih stabil.
Perubahan itu membuahkan hasil apabila beliau meningkat ke tempat kedua sebelum melangkah ke final stepladder.
Kejayaan itu turut membuka peluang buat Syafiq untuk dipilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Asia di Doha.
Kejohanan Terbuka Kebangsaan kali ini menjadi antara kriteria pemilihan ke temasya berkenaan, dengan Syafiq menyasarkan untuk membantu Malaysia muncul juara keseluruhan.