DS Shuhaily tolak pelantikan Jawatankuasa Integriti – FAM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tidak dapat menerima pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan kekangan masa serta tanggungjawab hakikinya menerajui agensi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAM menghormati keputusan beliau dan menghargai kesediaan sebelum ini untuk membantu memperkukuh tadbir urus dan integriti.
  • Beliau diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti yang dipengerusikan Tan Sri Ayob Khan bagi baki penggal 2025-2029.
  • Penubuhan Jawatankuasa Integriti adalah langkah FAM memperkukuh tadbir urus, integriti dan ketelusan dalam pengurusan bola sepak negara.
  • FAM memberi jaminan fungsi jawatankuasa tidak akan terjejas dan menegaskan komitmen memperkukuh integriti di bawah pimpinan Tan Sri Ayob Khan.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen Datuk Seri Shuhaily terhadap tugas utamanya sebagai Ketua Pengarah AKPS.

“FAM menghormati keputusan beliau dan merakamkan penghargaan atas kesediaan serta komitmen beliau sebelum ini untuk membantu memperkukuh aspek tadbir urus dan integriti FAM,” menurut kenyataan itu.

Datuk Seri Shuhaily sebelum ini diumumkan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, yang dipengerusikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, bagi baki penggal 2025-2029.

Pelantikan itu diumumkan Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, selepas Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada 30 September lalu.

Penubuhan Jawatankuasa Integriti itu merupakan antara langkah FAM untuk memperkukuh tadbir urus, integriti dan ketelusan dalam pengurusan badan induk bola sepak negara.

Dengan keputusan Datuk Seri Shuhaily itu, FAM memberi jaminan bahawa kelancaran serta fungsi Jawatankuasa Integriti tidak akan terjejas.

FAM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam bola sepak tanah air terus dilaksanakan di bawah pimpinan Tan Sri Ayob Khan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.