
ISTANBUL, 2 November – Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli muncul juara dunia Formula Satu (F1) termuda dalam sejarah selepas menamatkan Grand Prix Mexico City di tempat ketiga pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
- Meraih gelaran dunia pertama dalam musim kedua F1, dengan empat pusingan musim 2026 masih berbaki.
- Memecahkan rekod Sebastian Vettel sebagai juara termuda dan pelumba Itali pertama memenangi gelaran sejak Alberto Ascari 1953.
- Perlumbaan 71 pusingan dimenangi Max Verstappen, diikuti Lewis Hamilton mewakili Ferrari di tempat kedua.
- Antonelli bermula petak keempat, memintas Charles Leclerc pusingan ke-48 untuk menduduki dan mengekalkan tempat ketiga hingga penamat.
Pelumba Itali berusia 20 tahun itu meraih gelaran dunia pertamanya dalam musim kedua penyertaan dalam F1, dengan saingan musim 2026 masih berbaki empat pusingan.
Antonelli yang memiliki kelebihan dalam kutipan mata keseluruhan hanya perlu menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kesembilan untuk mengesahkan kejuaraan dunia, tanpa mengira keputusan pencabarnya.
Beliau memecahkan rekod Sebastian Vettel sebagai juara dunia F1 termuda, selain menjadi pelumba Itali pertama memenangi gelaran itu sejak Alberto Ascari pada 1953.
Perlumbaan 71 pusingan di Litar Autodromo Hermanos Rodriguez itu dimenangi Max Verstappen dari Red Bull, manakala Lewis Hamilton yang mewakili Ferrari menamatkan saingan di tempat kedua.
Antonelli yang bermula di petak keempat berjaya memintas Charles Leclerc pada pusingan ke-48 untuk menduduki tempat ketiga sebelum mengekalkan kedudukan itu hingga ke garisan penamat.
“Kami berjaya! Saya tidak mungkin berada di sini tanpa Mercedes dan keluarga saya. Saya kehilangan kata-kata dan masih cuba menghadam apa yang baru berlaku,” katanya selepas perlumbaan.
Verstappen menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 0.799 saat di hadapan Hamilton, manakala Antonelli ketinggalan 4.006 saat di tempat ketiga.- BERNAMA-ANADOLU