Penduduk DUN Pengkalan Batu harap isu tanah terbiar diatasi

Reaksi Pengerusi dan penduduk Pengkalan Batu

PENGKALAN BATU, 2 November – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu berharap isu tanah terbiar yang dipenuhi semak samun dapat diselesaikan segera bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran haiwan liar dan berbisa, termasuk ular, serta anjing liar mengancam keselamatan penduduk, terutama kanak-kanak.
  • Penduduk minta PBT dan wakil rakyat ambil tindakan membersihkan tanah terbiar untuk menjamin keselamatan dan keselesaan kampung.
  • Kebanyakan tanah terbiar milik persendirian menyukarkan tindakan pihak berkuasa, memerlukan penyelarasan dan bantuan segera.
  • Penduduk mahu pemantauan berkala oleh jabatan dan agensi berkaitan supaya keadaan kampung sentiasa terkawal.

Keadaan itu dikhuatiri mengundang kehadiran haiwan liar dan berbisa, termasuk ular, selain anjing liar yang boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak.

Sehubungan itu, mereka berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil rakyat yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dapat memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan.

Menurut penduduk, Embok Chik Wahab, keadaan kawasan yang dipenuhi semak samun menimbulkan kebimbangan kerana penduduk berdepan risiko kehadiran haiwan berbisa dan anjing liar.

“Keadaan di sini macam tinggal di dalam hutan. Memang takut apabila terserempak dengan ular, termasuk ular berwarna hitam. Anjing liar pun banyak, lebih daripada enam ekor.

“Kami risau keselamatan kanak-kanak yang bermain di luar, malah hendak membuang sampah atau menjemur pakaian pun berasa takut,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Noorasmawi Johar, berharap PBT dan calon yang bakal dipilih dapat mengambil tindakan membersihkan kawasan tanah terbiar bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Saya berharap pihak PBT dan wakil rakyat yang dipilih nanti dapat membantu membersihkan kawasan tanah terbiar ini supaya keselamatan penduduk kampung terpelihara.

“Sebelum ini, kawasan yang dipenuhi semak samun menyebabkan haiwan liar memasuki rumah penduduk, termasuk rumah warga emas. Keadaan ini menjejaskan rasa selamat kami,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noraishah Akhbar Ali, berharap wakil rakyat yang dipilih dapat menyelesaikan isu berkenaan, selain memastikan pemantauan berkala dilaksanakan oleh jabatan dan agensi berkaitan,” katanya.

“Saya berharap pemimpin yang dipilih nanti dapat menyelesaikan perkara yang belum selesai sebelum ini. Penduduk juga berasa takut untuk keluar pada waktu malam.

“Saya berharap jabatan dan agensi berkaitan dapat meneruskan pemantauan bagi memastikan keadaan kampung sentiasa terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Peringgit, Datuk Shafrie Abdullah berkata, kebanyakan tanah terbiar di kawasan berkenaan merupakan tanah milik persendirian yang tidak diselenggara, sekali gus berpotensi mendatangkan bahaya kepada penduduk berhampiran.

“Saya memohon supaya isu tanah terbiar ini diselaraskan dan ditangani segera. Di kawasan JPKK Peringgit, terdapat empat hingga lima lokasi yang memerlukan tindakan.

“Kebanyakan tanah itu milik individu, menyebabkan pihak kami menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini supaya penduduk dapat hidup dalam keadaan selesa dan selamat,” tegasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.