Usia 81 tahun genggam PhD, sasar PhD kedua

Foto RTM

BACHOK, 2 November – Faktor usia dan cabaran kesihatan bukan penghalang buat Dr Abdul Ghani Muhamad, 81 tahun, untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Tasawuf dan Tarekat selepas menamatkan pengajian selama empat tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas guru agama, bapa kepada sembilan anak dan 35 cucu, membuktikan semangat menimba ilmu tidak mengenal usia.
  • Sokongan keluarga menjadi sumber kekuatan utama merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke menara gading.
  • Diiktiraf sebagai graduan PhD tertua UMK dan bersemangat melanjutkan PhD kedua dalam bidang agama.
  • Antara 4,035 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-16 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Bachok.

Bekas guru agama yang mempunyai sembilan anak dan 35 cucu itu berjaya menamatkan pengajiannya dalam tempoh ditetapkan, sekali gus membuktikan bahawa kesungguhan dan semangat untuk menimba ilmu tidak mengenal usia.

Sokongan keluarga menjadi sumber kekuatan utama untuk beliau merealisasikan impian sejak muda untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Lebih membanggakan, graduan PhD tertua Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu tidak berhasrat berhenti setakat itu, malah bersemangat untuk melanjutkan pengajian PhD buat kali kedua dalam bidang agama di universiti berkenaan.

“Saya dapat memberikan rangsangan dan motivasi kepada anak cucu serta golongan muda di luar sana bahawa pembelajaran bukan hanya untuk mereka yang masih muda, sebaliknya boleh diteruskan pada bila-bila masa.

“Jika diizinkan Tuhan dan diberikan kesihatan yang baik, saya sendiri berhasrat untuk melanjutkan pengajian sekali lagi,” katanya.

Dr. Abdul Ghani merupakan antara 4,035 graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen UMK Kali Ke-16 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Bachok, bermula Ahad hingga Khamis depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.