
MADRID, 2 November – Empat warga Amerika Syarikat (AS) dan masing-masing seorang rakyat Kanada, Jepun, Argentina, Mexico, Tunisia serta Republik Czech antara 69 mangsa yang maut dalam nahas tren berkelajuan tinggi di Sepanyol minggu lalu.
- Pasukan khas polis dan forensik mengesahkan identiti 10 mangsa warga asing, hampir keseluruhan mangsa kini dikenal pasti.
- Pihak berkuasa menunggu ketibaan keluarga mangsa di Sepanyol untuk pengecaman bersemuka.
- Kegagalan sistem keselamatan automatik menghentikan perkhidmatan di laluan 63 kilometer, menimbulkan persoalan tentang keselamatan rel negara.
Pihak berkuasa memaklumkan, identiti 10 lagi mangsa warga asing disahkan pada Ahad, menjadikan hampir keseluruhan mangsa nahas berkenaan dikenal pasti.
Badan khas yang ditubuhkan bagi menguruskan proses pengecaman, terdiri daripada anggota polis dan pakar forensik, mengesahkan identiti 10 mangsa warga asing terbaharu menerusi satu kenyataan pada lewat Ahad.
Sebelum ini, pihak berkuasa mengesahkan kematian seorang warga Perancis, seorang warga Portugal dan 54 rakyat Sepanyol.
Setakat ini, identiti semua mangsa kecuali tiga orang telah dikenal pasti.
Pihak berkuasa turut memaklumkan, tiga laporan orang hilang masih dalam siasatan membabitkan dua warga Australia dan seorang warga Jepun.
“Pihak berkuasa kini menunggu ketibaan keluarga mangsa di Sepanyol selepas mereka menyatakan hasrat untuk hadir bagi tujuan pengecaman secara bersemuka,” menurut kenyataan itu.
Nahas itu merupakan kejadian kedua membabitkan tren berkelajuan tinggi di Sepanyol tahun ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan rel negara itu, selepas kemalangan di wilayah Andalusia pada Januari lalu mengorbankan 46 nyawa.
Tragegi minggu lalu melibatkan sebuah tren kendalian syarikat milik kerajaan, Renfe, merempuh bahagian belakang sebuah tren yang berhenti milik syarikat Iryo, berhampiran perkampungan Urda, kira-kira 130 kilometer ke selatan Madrid.
Kegagalan sistem keselamatan automatik menyebabkan semua perkhidmatan tren di laluan sepanjang 63 kilometer dihentikan.-AFP