Aplikasi amaran Rusia digodam

Foto hiasan

MOSCOW, 2 November – Aplikasi mudah alih yang digunakan untuk menyalurkan amaran kepada orang ramai mengenai ancaman serangan dron dan bahaya lain di Rusia menjadi sasaran serangan siber besar-besaran pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Kecemasan: penyerang menggunakan aplikasi untuk menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai.
  • Tentera Udara Ukraine dan jurucakap mengesahkan aplikasi Air Alarm mengalami gangguan akibat penggodaman.
  • Pasukan teknikal sedang berusaha membaiki gangguan, manakala aplikasi amaran khusus di Kiev masih berfungsi.

Kementerian Kecemasan Rusia memaklumkan perkara itu, beberapa jam selepas Ukraine menyatakan sistem amaran serangan udaranya dipercayai digodam susulan kemunculan amaran palsu mengenai ancaman radiasi menerusi aplikasi berkenaan.

“Perhatian! Aplikasi mudah alih Kementerian Kecemasan Rusia telah menjadi sasaran serangan siber besar-besaran, yang membolehkan pihak penyerang menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai,” menurut kementerian itu menerusi Telegram.

Kementerian berkenaan turut memaklumkan pasukan teknikal sedang berusaha menangani masalah tersebut.

Sementara itu, Tentera Udara Ukraine dan Pusat Menangani Maklumat Palsu negara itu dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan aplikasi Air Alarm berkemungkinan mengalami gangguan akibat campur tangan pihak musuh.

Jurucakap Tentera Udara Ukraine, Yuriy Ignat, mengesahkan kepada AFP, aplikasi berkenaan telah digodam.

Pusat Komunikasi Strategik Ukraine (SPRAVDI) pula menuding jari kepada Rusia berhubung insiden penggodaman itu menerusi satu hantaran di platform X.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bandar Kiev memaklumkan aplikasi berasingan yang khusus digunakan untuk menyampaikan amaran di ibu negara itu masih berfungsi seperti biasa.

Insiden serangan siber berkenaan berlaku selepas gencatan senjata sementara di wilayah Kherson, yang membolehkan misi kemanusiaan ke bandar Oleshky, berakhir.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.