
KUALA LUMPUR, 2 November– Sindiket perjudian dalam talian dan nombor ekor tanpa lesen, terus dikesan menggunakan kafe, kedai runcit serta premis telekomunikasi sebagai lokasi kegiatan haram.
- Ops Dadu Khas: 201 premis diserbu, 282 individu berusia 20 hingga 65 tahun ditahan.
- Sindiket perjudian dalam talian mudah berpindah dan beroperasi hanya memerlukan WiFi; polis kenal pasti Winbox dan Alibaba.
- Polis akan mencadangkan pemotongan bekalan elektrik pada premis diserbu, bekerjasama dengan MCMC, dan menyiasat mengikut akta berkaitan.
Taktik berselindung di sebalik operasi perniagaan yang sah itu, terbongkar menerusi Ops Dadu Khas yang dilaksana di seluruh negara pada 30 Oktober hingga 1 November.
Ia membawa kepada serbuan di 201 premis dan penahanan 282 individu berusia antara 20 hingga 65 tahun.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, daripada jumlah itu, 59 merupakan warga asing yang dipercayai diambil bekerja oleh sindiket tempatan sebagai penjaga premis.
Beliau berkata, kegiatan perjudian dalam talian semakin sukar dibanteras apabila sindiket menggunakan premis perniagaan biasa sebagai tempat operasi, selain mudah berpindah lokasi.
“Sindiket ini menggunakan perjudian secara dalam talian, ia berpindah randah.
“Apa yang diperlukan sindiket ini adalah WIFI, jadi boleh beroperasi di mana-mana,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman, dekat sini, hari ini.
Susulan serbuan itu, polis turut mengenal pasti beberapa sindiket termasuk Winbox dan Alibaba, selain sedang mengesan ketua-ketua kumpulan berkenaan bagi tindakan lanjut.
Pihak polis akan mencadangkan pemotongan bekalan elektrik di 201 premis yang diserbu selepas siasatan selesai, sebagai usaha melumpuhkan operasi.
Selain itu, kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan diteruskan bagi menurunkan iklan perjudian dalam talian yang disebarkan menerusi media sosial.
Kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Polis menegaskan operasi membanteras kegiatan perjudian akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu tindakan penguatkuasaan.