
ULASAN BERITA
- Memacu ekonomi ke hadapan melalui pelaburan berkualiti, teknologi maju dan peningkatan produktiviti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan lebih baik.
- Tumpuan kepada gaji minimum dan peningkatan kemahiran untuk meningkatkan nilai pekerjaan, produktiviti serta pendapatan jangka panjang.
- Menangani kos sara hidup melalui bantuan bersasar, perlindungan sosial dan dasar yang memastikan akses kepada makanan, perumahan, pendidikan serta kesihatan.
- Libat urus meluas dan tadbir urus baik memastikan dasar relevan, projek berkesan, ketirisan dikurangkan dan PMKS ditempa untuk menyokong peluang pekerjaan.
Hari ini, tumpuan rakyat pastinya kepada Belanjawan 2027. Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi.”
Tema ini bukan sekadar ungkapan yang indah. Sebaliknya, menggambarkan dua perkara yang perlu bergerak seiring dalam pembangunan negara.
Fokusnya, kita mahu Malaysia menggapai lebih tinggi dan sama sekali, tidak boleh lupa untuk mengakar di bumi.
Menggapai di langit bererti kita mahu ekonomi negara pergi lebih jauh. Kita mahu pelaburan berkualiti, teknologi lebih maju dan produktiviti lebih tinggi.
Selain pekerjaan dengan tawaran pendapatan lebih baik. Begitu juga dengan isu gaji minimum. Ia tidak boleh dipisahkan daripada agenda pembangunan ekonomi.
Gaji minimum penting untuk memastikan pekerja berpendapatan rendah mendapat pendapatan lebih munasabah.
Namun untuk jangka panjang, matlamatnya bukan sekadar menaikkan paras gaji minimum.
Sebaliknya memastikan pekerja mempunyai peluang meningkatkan kemahiran, produktiviti dan pendapatan.
Ertinya, bukan sekadar menaikkan gaji, tetapi menaikkan nilai pekerjaan. Itulah sebahagian daripada maksud menggapai di langit.
Bagaimanapun, dalam mengejar kemajuan, pembangunan juga perlu mengakar di bumi.
Kemajuan ekonomi mesti dirasai dalam kehidupan seharian rakyat. Harga makanan, rumah, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan semuanya memberi kesan kepada kehidupan.
Sebab itu usaha menangani kos sara hidup, bantuan bersasar dan perlindungan sosial masih penting.
Pada masa sama, rakyat perlu diberikan peluang untuk meningkatkan pendapatan dan mendapatkan pekerjaan lebih baik.
Bukan sekadar membantu rakyat bertahan, tetapi membantu mereka bergerak ke hadapan.
Dalam proses ini, sesi libat urus adalah penting. Belanjawan yang baik bukan hanya dibentuk berdasarkan angka dan data di atas kertas.
Pandangan pekerja, majikan, PMKS, persatuan industri, golongan muda, akademik dan komuniti di luar bandar juga perlu didengar.
Mereka yang berdepan dengan masalah sebenar setiap hari mempunyai pandangan yang penting untuk membantu kerajaan memahami keperluan sebenar di lapangan.
Daripada isu gaji dan pekerjaan, kepada kos menjalankan perniagaan, pendidikan, perumahan, kesihatan dan pembangunan wilayah.
Lebih banyak suara didengar, lebih dekat dasar yang dirangka dengan realiti rakyat.
Di sinilah tiga tonggak Ekonomi MADANI menjadi penting — Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai dan Memacu Pembaharuan Tatakelola.
Setiap ringgit kerajaan perlu memberi nilai. Projek perlu dilaksanakan dengan baik, bantuan perlu sampai kepada sasaran dan ketirisan perlu dikurangkan.
Belanjawan 2027 juga melihat perkara yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Antaranya, keterjaminan makanan, peralihan tenaga, perubahan iklim serta pembangunan yang lebih seimbang.
PMKS dan perniagaan tempatan juga perlu terus diperkukuh. Ini supaya lebih banyak syarikat kecil boleh berkembang dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sebab itu ukuran sebenar Belanjawan 2027 bukan hanya pada angka yang diumumkan. Ukuran sebenarnya ialah apa yang berubah selepas pengumuman itu.
Seperti peribahasa Melayu, “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”
Masa depan memang perlu dikejar. Teknologi, pelaburan dan pertumbuhan perlu terus menjadi agenda.
Tetapi dalam mengejar semua itu, masalah rakyat tidak boleh tertinggal. Menggapai di langit bermaksud berani meletakkan cita-cita lebih tinggi untuk negara.
Dan mengakar di bumi bermaksud memastikan rakyat kekal menjadi asas kepada pembangunan.
Pastinya, rakyat bukan hanya mahu mendengar tentang pembangunan. Rakyat mahu merasainya.
Itulah ukuran sebenar Belanjawan 2027. Menggapai lebih tinggi, tetapi tetap mengakar di bumi.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Hafizul Baharuddin.