
ULASAN BERITA
- Waze diperbadankan di Israel; penggunaan semasa urusan rasmi berisiko mendedahkan data lokasi dan menjejaskan keselamatan negara.
- Teknologi AI boleh menganalisis corak pergerakan; jika data bocor, ancaman kepada individu dan negara amat tinggi.
- Gunakan alternatif tempatan seperti TuJu atau PINTAZ supaya data disimpan mengikut undang-undang dan infrastruktur keselamatan siber negara.
Kecoh seluruh negara apabila kerajaan mengumumkan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam berkuat kuasa serta merta, baru-baru ini.
Seperti dijangka, ramai tidak berpuas hati kerana Waze dianggap keperluan penting dalam kehidupan seharian.
Bagi sesetengah orang, asal masuk kereta, mesti aktifkan Waze, walaupun untuk ke destinasi yang sama setiap hari.
Ini memandangkan Waze bukan sekadar membantu kita mencari jalan atau mendapatkan jarak dan tempoh masa yang tepat mengenai laluan menuju ke sesebuah destinasi.
Tetapi, turut mengelakkan kita melalui jalan yang sesak atau dilanda banjir, serta jalan yang ditutup.
Tidak dinafikan, banyak kelebihan yang ditawarkan oleh aplikasi navigasi ini.
Namun, sedarkah kita bahawa penggunaan Waze berpotensi menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara?
Perlu diingat, Waze Mobile Limited diperbadankan di Israel.
Sebagai penjawat awam, penggunaan Waze semasa menjalankan urusan rasmi dibimbangi boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara kerana data lokasi dan corak pergerakan kita berisiko disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) membolehkan data berkenaan dianalisis bagi mengenal pasti corak pergerakan individu.
Sekiranya data tersebut jatuh ke tangan penjenayah, ancamannya sangat tinggi.
Syarikat terbabit telah pun mengeluarkan terma penggunaan baharu yang menyatakan penggunaan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel.
Perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebarang pertikaian atau tuntutan mahkamah yang timbul berkaitan penggunaan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel dan bidang kuasa eksklusif mahkamah di Tel Aviv.
Atas sebab inilah, tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap penjawat awam yang gagal mematuhi arahan berkenaan, bagi mengelakkan timbulnya masalah di kemudian hari.
Lebih-lebih lagi, mengambil kira Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.
Anggaplah arahan ini sebagai langkah pencegahan yang perlu dilaksanakan, demi keselamatan penjawat awam dan kedaulatan negara.
Sebagai alternatif, terdapat lebih 10 aplikasi navigasi jalan raya lain boleh digunakan untuk menggantikan Waze.
Antaranya aplikasi TuJu yang dibangunkan secara tempatan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Dengan beralih kepada TuJu, data perjalanan rakyat Malaysia disimpan dan diproses mengikut undang-undang serta infrastruktur keselamatan siber negara sendiri.
Walaupun Waze jauh lebih matang untuk navigasi harian, TuJu mempunyai beberapa kelebihan khusus, terutamanya bagi pemanduan di lebuh raya bertol.
Waze hanya memaparkan ikon status atau laporan grafik, sebaliknya TuJu memaparkan imej langsung daripada kamera litar tertutup (CCTV) milik LLM di sepanjang lebuh raya.
Ini membolehkan kita melihat sendiri keadaan trafik sebenar, sebelum menempuh laluan berkenaan.
Benar, aplikasi ini mempunyai kelemahan dan masih memerlukan banyak penambahbaikan.
Namun, kerajaan telah pun memberi jaminan akan memperkukuh keupayaan aplikasi navigasi itu, mengambil kira aduan pengguna.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan, usaha sedang dilaksanakan untuk memperluas perkhidmatannya melangkaui pemantauan lebuh raya bagi menyediakan maklumat trafik yang lebih menyeluruh.
Selain TuJu, pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan satu lagi aplikasi tempatan, iaitu PINTAZ.
Aplikasi ini juga mempunyai liputan menyeluruh dan berfungsi untuk Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak.
Seperti mana Waze, ia juga boleh melaporkan keadaan banjir dan kemalangan secara langsung menerusi laporan komuniti.
Dan menariknya, aplikasi PINTAZ ini mempunyai ciri mesra muslim kerana ia dilengkapi dengan waktu solat mengikut ketetapan JAKIM, kompas kiblat dan kalendar Hijrah.
Aplikasi lain yang boleh turut dimanfaatkan ialah Google Maps, Apple Maps, HERE WeGo dan Petal Maps.
Jika aplikasi alternatif terutamanya yang dibangunkan secara tempatan mempunyai keupayaan mencukupi, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan sepenuhnya Waze.
Hakikatnya, sudah tiba masanya semua pihak membuka mata dan lebih peka terhadap isu keselamatan ini.
Fikirkan, adakah wajar untuk terus memanfaatkan sesuatu teknologi sedangkan kita menyedari penggunaannya membawa risiko amat tinggi terhadap diri sendiri dan keselamatan negara?
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Masniza Awang Kechik.